Tumpuan :
Nasional

Nahas penuntut UiTM: Keluarga Khairul Anwar belum sedia jumpa suami suspek

Jamaluddin Hussin/ Bapa mangsa

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

KUALA LUMPUR: Keluarga kepada seorang penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun, Khairul Anwar Jamaluddin, yang maut dilanggar Rabu lalu menyambut baik usaha institut pengajian itu untuk mengatur pertemuan dengan keluarga suspek.

Bagaimanapun mereka belum bersedia untuk  bertemu dengan suami suspek, memandangkan masih bersedih dan terkejut dengan tragedi yang menimpa.

Belum menerima permohonan maaf secara rasmi daripada suami suspek, Jamaluddin Hussin, 53, dan keluarga tidak mahu berjumpa dengan suami kepada suspek, pada waktu ini.

Selain trauma, mereka sekeluarga khuatir gagal mengawal emosi mengenangkan nasib yang menimpa anak mereka.

“Saya tak tahu di pihak dua (mangsa) lagi, tapi bagi saya dia boleh buat permohonan maaf kerana isteri dia masih hidup, macam kami ni anak dah tak ada.

“Tengok keadaan, saya cuba tanya pada kakak-kakak dia, adakah permohonan maaf itu ikhlas,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Pandan.

Ujarnya, kehilangan anak bongsunya itu mendatangkan kesan amat mendalam kerana semua anak lelakinya sudah meninggal dunia.

Redha dengan ketentuan Ilahi, mereka sekeluarga masih mempertimbangkan untuk meneruskan tindakan undang-undang terhadap suspek, bagi mendapatkan keadilan buat arwah anaknya.

“Bukan saya seorang, ada dua lagi (keluarga), saya nak bincang dulu dengan waris macam mana, saya tak boleh bagi kata putus.

“Walau macam mana pun saya akan buat yang terbaik untuk cari keadilan untuk anak saya,” katanya.

Dalam kejadian Khamis lalu, empat penuntut UiTM Dungun yang menunggang dua buah motosikal dirempuh sebuah kenderaan Utiliti Sukan (SUV) yang dipandu seorang wanita.

Insiden menyebabkan Khairul Anwar, Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, dan Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, maut manakala Muhammad Ammar Danish Mohamad Ridhuan, 20, cedera di pinggang dan masih menerima rawatan di Hospital Dungun.

Berikutan itu, polis menahan pemandu wanita berusia 49 tahun dan direman untuk siasatan lanjut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini