KUALA KRAI: Kemalangan maut yang mengorbankan empat beranak di Kilometer (KM) 76.5 Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Kampung Pahi, di sini, hari ini, dipercayai berpunca daripada sebuah kereta dipandu lelaki warga Thailand memasuki laluan kenderaan mangsa dari arah bertentangan lalu bertembung.
Nahas kira-kira jam 1.40 tengah hari berlaku ketika mangsa sekeluarga yang menaiki Perodua Myvi sedang dalam perjalanan dari arah Kota Bharu menghala ke Gua Musang, manakala Nissan March dipandu warga negara jiran itu pula dari arah Gua Musang menghala ke Kota Bharu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Kamarulzaman Harun berkata, empat beranak yang maut itu dikenal pasti sebagai Syukran Jamil Ab Hamid, 35, yang juga pemandu Perodua Myvi terbabit; isteri, Noor Aishah Razali, 35; bayi perempuan, Lufya Adeena Syukran Jamil, 1; dan anak lelaki, Ahya Rafiqi Syukran Jamil, 6.
Katanya, Syukran Jamil bersama Noor Aishah dan Lufya Adeena disahkan terkorban di lokasi kejadian, manakala Ahya Rafiqi meninggal dunia pada jam 3.15 petang ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra, di sini.
Bagaimanapun, beliau berkata, seorang lagi anak lelaki pasangan itu, Attar Azim Syukran Jamil, 9, mengalami kecederaan dan sedang dirawat di hospital sama.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika Perodua Myvi terbabit sedang dalam perjalanan dari arah Kota Bharu menghala ke Gua Musang, manakala Nissan March pula dari arah Gua Musang menghala ke Kota Bharu.
“Setiba di lokasi kejadian, Nissan March yang dipandu warga Thailand, Sulaiman Yakoh, dipercayai masuk ke laluan Perodua Myvi menyebabkan kedua-dua kereta itu bertembung,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, perlanggaran itu turut menyebabkan pemandu Nissan March mengalami kecederaan parah di bahagian kaki dan dada, manakala penumpangnya, Noreena Asami, 35, parah di bahagian muka.
“Mereka juga dirawat di hospital sama. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Polis akan menjalankan siasatan secara terperinci, dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kemalangan itu boleh menyalurkannya dengan menghubungi Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai,” katanya sambil menasihati orang awam supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan jalan raya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.