comscore
Tumpuan :
Nasional

Nahas ketika konvoi motosikal, anggota tentera Brunei maut

Motosikal mangsa. FOTO: Ihsan PDRM

KENINGAU: Seorang anggota Tentera Diraja Brunei maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggang terbabit kemalangan dengan sebuah pacuan empat roda, ketika sedang berkonvoi di Kilometer 39, Jalan Keningau-Tambunan di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, mangsa, Sarjan Mejar Mohammad Joeriman Abdul Latif, 40, yang juga warga Brunei, parah di badan, kaki dan rusuk kiri sebelum disahkan meninggal dunia di Wad Kecemasan Hospital Keningau, selepas hampir lima jam menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal Yamaha YZF R6 dan berkonvoi bersama rakan dengan empat motosikal lain.

Katanya, mangsa bersama rakannya dari arah Keningau ke Sandakan bagi menghadiri jemputan Event Bike Week / Bike Fest MC/ MG Permotoran Asean, pada 19 hingga 21 Julai di Sandakan.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, tiba-tiba sebuah Toyota Hilux dipandu seorang lelaki tempatan berusia 70 tahun keluar simpang dari arah Kampung Monsorulung, Tambunan, memasuki jalan utama yang dilalui mangsa.

“Mangsa cuba mengelak ke sebelah kanan jalan tetapi terlanggar di bahagian hadapan sebelah kanan Toyota Hilux,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, akibat pelanggaran itu, motosikal mangsa tercampak ke sebelah kanan bahu jalan arah bertentangan, manakala mangsa terjatuh dan terperosok di bawah Toyota Hilux.

“Akibatnya, mangsa parah di bahagian badan, kaki kiri patah dan rusuk kiri. Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Keningau untuk rawatan lanjut.

“Pada 2.56 petang hari sama, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan ketika mendapat rawatan di Wad Kecemasan Hospital Keningau,” katanya.

Katanya lagi, pemandu kenderaan Toyota Hilux ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini