IPOH: Kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori sampah yang berlaku di Kawasan Perindustrian Bercham, di sini, malam tadi, mengakibatkan tiga individu ditemui rentung.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, nahas membabitkan kereta Proton Perdana dinaiki tiga mangsa yang musnah 95 peratus akibat rempuhan dengan lori sampah.
Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh dengan dibantu oleh BBP Tambun dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bercham bergerak ke lokasi sebaik panggilan diterima jam 8.05 malam tadi.
Menurutnya, identiti semua mangsa rentung itu belum dikenal pasti.
“Tiga mangsa rentung. Maklumat mangsa tidak dapat dikenal pasti.
“Setibanya anggota di lokasi kejadian mendapati kebakaran membabitkan sebuah Proton Perdana terbakar akibat kemalangan merempuh bahagian hadapan lori sampah,” katanya dalam kenyataan tengah malam tadi.
Jelasnya, nahas berkenaan turut mengakibatkan lori sampah terbabit juga terbakar di bahagian hadapan lori dengan anggaran kadar kemusnahan 50 peratus.
“Ketua operasi memaklumkan bantuan kren digunakan untuk mengalihkan lori sampah terbabit dan selepas dialihkan, dikenal pasti bahawa tiga orang mangsa yang sudah rentung berada di dalam kereta berkenaan.
“Tindakan pemadaman dilakukan menggunakan dua aliran hose reel air tangki jentera sehingga api padam sepenuhnya,” katanya dengan menambah operasi tamat jam 11.35 malam tadi.