Tumpuan :
Nasional

Nahas kereta bertembung treler, suami isteri maut

Keadaan kenderaan yang terbabit kemalangan di KM 3 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Gua Musang. FOTO: NSTP

GUA MUSANG: Pasangan suami isteri maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan treler di Kilometer (KM) 3 Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu, mangsa, Muhammad Syamie Farhan Adnan, 25, dan isterinya, Nurul Syafika Anis Zulkifli, 26 maut di tempat kejadian, manakala anaknya Nur Irdina Delisha, 10 bulan, dan Muhammad Izz Danial, 5, terselamat.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, kejadian berlaku membabitkan kenderaan Perodua Myvi dan Treler Scania yang dipandu lelaki berusia 45 tahun.

Katanya, mangsa bersama isteri dan dua anaknya dipercayai dalam perjalanan dari arah Kuala Krai menghala ke Gua Musang.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa yang mengambil selekoh ke kanan jalan hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan treler.

“Pertembungan terbabit menyebabkan treler terbabas dan terbalik sehingga melintang jalan, manakala kereta mangsa terbabas ke bahu kiri jalan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa bersama isteri yang tersepit dalam kenderaan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan dua lagi penumpang dikejarkan ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini