Tumpuan :
Nasional

Nahas helikopter: Helikopter terhempas terbabit kerja angkut bahan binaan sejak 21 Jan

Anggota bomba dan penyelamat sedang memadam kesan kebakaran helikopter yang terhempas pagi tadi.

LIPIS: Helikopter pengangkut jenis Bell 206L-4 Long Ranger yang terhempas di Batu 9, Jalan Lama Kuala Lumpur-Bentong pagi tadi, telah melakukan beberapa penerbangan sejak 21 Januari lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, sejak itu hingga terhempas jam 10.20 pagi tadi, helikopter yang didaftarkan di Indonesia itu terbabit dengan kerja mengangkut bahan binaan.

“Penerbangan hari ini adalah kali keenam dan tragedi berlaku kira-kira beberapa kaki sebelum mendarat untuk mengisi minyak di tempat kejadian sebelum hilang kawalan dan terbalik seterusnya terbakar. .

Juruterbang helikopter itu berusia 44 tahun warga negara Indonesia terselamat, manakala seorang lagi warga Indonesia, Finsen Reskey Sembiring, 27, maut di lokasi akibat terkena kipas utama pesawat tersebut,” katanya kepada ditemui media selepas melawat Kilang Peluru Ketech Asia di Padang Tengku hari ini.

Yahaya berkata, helikopter itu telah terbalik sebelum terbakar dan kipasnya mengenai mangsa yang sedang berada berdekatan dengan tong minyak.

“Kejadian berlaku berdekatan kawasan kolam air panas ketika helikopter terbabit digunakan untuk kerja mengangkut bertujuan pemasangan kabel dan kebakaran itu menyebabkan pesawat musnah sepenuhnya.

“Pihak polis masih meneruskan siasatan lanjut berkaitan kejadian ini,” katanya.

Juruterbang helikopter berusia 44 tahun warga Indonesia yang terselamat dikenali sebagai Kustiyadi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini