Tumpuan :
Nasional

Nahas helikopter di Cameron Highlands berpunca kelemahan juruterbang – BSKU

Sebuah helikopter dinaiki enam individu, termasuk lima pegawai perubatan, melakukan pendaratan cemas di kawasan hutan berhampiran Tanah Rata, Cameron Highlands bersempadanan Perak dan Pahang, tahun lepas.

KUALA LUMPUR: Siasatan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) mendapati, punca sebuah helikopter terhempas di Brinchang, Cameron Highlands pada tahun lalu dikenal pasti akibat kelemahan juruterbang dalam membuat keputusan ketika cuaca buruk.

Laporan akhir yang dipaparkan menerusi sesawang BSKU, mendedahkan pengendali pesawat itu telah diarah untuk menyediakan program latihan berulang kepada juruterbang mengenai penerbangan di kawasan gunung dan dalam keadaan cuaca buruk secepat mungkin.

“Keupayaan penilaian risiko oleh juruterbang dan pertimbangannya perlu dipertingkatkan supaya juruterbang tidak mengambil risiko yang tidak perlu,” katanya.

Terdahulu, helikopter jenis Airbus AS 355 F2 milik syarikat swasta, membawa seorang doktor, dua jururawat dan dua pembantu perubatan dalam misi perubatan dari Tanjung Rambutan, Perak sebelum terhempas berhampiran Brinchang.

Berdasarkan laporan akhir berkenaan, siasatan mendapati pesawat terbabit berfungsi dengan sempurna pada hari kejadian dan bahagian yang rosak tidak menjadi punca kepada nahas berkenaan.

“Helikopter berkenaan terhempas di bahagian cerun, namun terhalang daripada terus jatuh ke kaki bukit oleh kanopi pokok. Tiga penumpang yang duduk di bahagian belakang kabin tercampak keluar ketika kejadian berkenaan.

“Keenam-enam mangsa yang menaiki helikopter terbabit terselamat, bagaimanapun empat daripadanya mengalami cedera ringan seperti luka, lebam, terseliuh dan tulang retak,” katanya.

Mengulas lanjut, BSKU turut menekankan kepentingan pengetahuan dan pengalaman juruterbang dalam mentafsirkan keadaan alam sekitar apabila beroperasi di kawasan pergunungan, terutamanya ketika cuaca buruk.

“Membuat keputusan yang tepat berdasarkan penilaian risiko yang betul dan pertimbangan yang baik diperlukan dalam persekitaran berkenaan.

“Satu prinsip utama adalah sentiasa peka dengan situasi semasa. Jika ragu-ragu, mendarat dan tunggu cuaca buruk reda,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini