Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Nahas Helikopter: BSKU lakukan siasatan di lokasi

FOTO: NSTP

BENTONG: Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) kini sedang menjalankan siasatan nahas helikopter pengangkut di sebuah kem perkhemahan di Batu 9 Jalan Lama Bentong-Kuala Lumpur, di sini.

Ia bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian helikopter jenis Bell 206L-4, Long Ranger, yang menyebabkan seorang jurutera warga Indonesia terkorban, manakala juruterbangnya mengalami cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, BSKU memulakan siasatan selepas Unit Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang selesai menjalankan siasatan mereka.

Katanya, mayat mangsa juga dihantar ke Hospital Bentong sekitar jam 4 petang tadi.

“Proses bedah siasat akan dilakukan jam 11 pagi esok.

“Tadi kira-kira jam 4 petang, BSKU telah tiba di lokasi kejadian untuk kenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya kepada media di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihak polis juga akan berhubung dengan Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur bagi memaklumkan status dua mangsa membabitkan warga negara itu.

Katanya, polis juga telah mengambil keterangan mangsa juruterbang terbabit.

“Juruterbang ini tidak mengalami kecederaan serius selepas diselamatkan seorang pengawal keselamatan yang bergegas menariknya keluar daripada helikopter ketika helikopter sedang terbakar,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 pagi tadi, helikopter pengangkut itu dilaporkan terhempas pada ketinggian kira-kira 0.9 meter selepas melakukan penerbangan dari tapak projek TNB sejauh 16 kilometer.

Juruterbang dikenali sebagai Kustiyadi, 44, manakala jurutera atau marshal pendaratan yang terkorban dikenali Finsen Resky Sembiring, 27.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini