Oleh : Fazli Ahmad
PETALING JAYA : Kemalangan membabitkan helikopter model Agusta, AW189 milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pagi semalam, bukan berlaku ketika pesawat itu sedang membuat penerbangan.
Bahagian Pengurusan Korporat JBPM menjelaskan, nahas jam 11.45 pagi di Dispersal Universiti Kuala Lumpur (MIAT) itu, ketika helikopter terbabit sedang menjalani pengujian enjin dan sistem pesawat.
Katanya, proses itu dilakukan setelah melalui senggaraan berkala ditetapkan pengeluar pesawat dalam program selenggaraan.
”Setelah beberapa ketika pesawat berada dalam pengujian tersebut, berlaku kemalangan ke atas pesawat yang mana pada ketika itu ia masih belum membuat penerbangan.
“Ketika kejadian, pesawat dikendalikan TPgB II Hasrizal Kamaruzzaman, dibantu juruterbang PKPgB Che Muhammad Azlan Che Mohammad dan seorang Air Quartermaster, PBK I Fua’ad Jamaluddin,” jelas JBPM dalam satu kenyataan hari ini.
Turut berada dalam dalam pesawat terbabit ialah empat kru penyelenggara termasuk dua jurutera.
“Dalam kejadian itu hanya seorang kru penyelenggara cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di sebuah klinik,” menurut kenyataan itu lagi.
Katanya, ketika kejadian, keadaan cuaca mendung dan tiada sebarang halangan.
Siasatan terperinci sedang dijalankan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) bagi mengenalpasti punca kemalangan.
JBPM turut melakukan siasatan dalaman dan akan mengambil tindakan susulan selaras dengan dapatan serta prosedur ditetapkan.
Artikel berkaitan : [VIDEO] Tujuh cedera, helikopter bomba terhempas