comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Nahas Genting Highlands: Keluarga kehilangan 3 saudara-mara sekelip mata

 

Oleh: Selwam Arjunan

BUKIT MERTAJAM: Tiga daripada tujuh mangsa yang maut dalam nahas di Jalan Genting Highlands semalam dikenalpasti mempunyai tali persaudaraan keluarga dari Machang Bubok, di sini, yang bersiar ke destinasi pelancongan itu sempena Tahun Baru Cina.

Selain tiga mangsa berkenaan, empat lagi mangsa difahamkan rakan dan kenalan yang rapat.

Menurut Wong You Hook, 62, isterinya, Ang Meng Hoong, 62; kakaknya, Wong Ah Mooi @ Wong Seh Mooi, 83; dan kakak iparnya, Lee Moy, 67, terkorban dalam nahas itu.

Wong You Hook, 62, kehilangan isteri, kakak dan kakak ipar dalam nahas di Jalan Genting Highlands.
Lim Nyoh Chin, 55, menunjukkan basikal kegemaran ibunya, mendiang Wong Ah Mooi, 83, yang digunakan setiap hari untuk melakukan aktiviti harian.

Manakala, pemandu van, Wong Choun Chiet, 49; dan tiga lagi penumpang iaitu Foong Ah Lan, 67; Seow Mee Tin, 72; dan Chang Them Kong, 70 merupakan rakan keluarga dan kenalan lama.

Katanya, mendiang Moy yang bekerja di Johor Bahru telah pulang ke kampung untuk menyambut Tahun Baru Cina dan membuat keputusan pada saat terakhir untuk melawat Genting Highlands.

Ujarnya, susulan itu ahli keluarga dan kenalan mereka menyewa van persiaran dan bertolak pada jam 6 pagi Selasa dan sepatutnya pulang semalam, namun mengalami kemalangan dalam perjalanan.

“Mereka rancang pun tiba-tiba saja. Kakak ipar (Lee Moy) balik dari Johor, jadi mereka mahu meluangkan masa bersama dan buat keputusan untuk ke Genting Highlands. Kalau dia tak balik, mungkin lawatan ini tak jadi.

“Isteri saya sangat rapat dengan kakak dan kakak ipar saya. Kalau bertemu mesti ada apa-apa untuk meluangkan masa bersama,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Jalan 8, Machang Bubok siang tadi.

Katanya, pemergian mereka masih tidak dapat dipercayai sehingga kini dan sukar menerima kenyataan kehilangan tiga ahli keluarga sekelip mata.

“Dari masa saya dengar berita sampai sekarang saya tak boleh fikir apa-apa. Banyak susah hati.

“Lagi pun bukan satu, tapi tiga-tiga pergi (terkorban) sekali macam ini, sakit hati sangat,” katanya lagi.

Sementara itu, anak Wong Ah Mooi iaitu Lim Nyoh Chin, 55, berkata pemergian ibunya amat sukar untuk diterima kerana mendiang merupakan seorang yang sangat sihat dan aktif walaupun berusia 83 tahun.

“Dia sangat ‘happy’ punya orang. Selalu senyum, enjoy.

“Walaupun dah berusia dia suka lawat tempat yang menarik.Bulan lepas pun dia pergi ke Lost World of Tambun dengan cucu-cucu.

“Orang yang tidak kenal dia jarang boleh percaya dia berusia 83 tahun. Sebab dia rajin berbasikal ke mana-mana tempat yang dia mahu pergi.

“Dia pergi ke pasar, kedai, jumpa kawan-kawan di kampung semua naik basikal. Dia ada beli basikal baru tetapi masih suka bawa basikal lamanya,” katanya sambil menunjukkan basikal kegemaran ibunya itu.

Menurut ahli keluarga, mayat mangsa difahamkan akan selesai dibedah siasat di Hospital Temerloh pada jam 2 petang dan akan tiba di kediaman pada malam ini.

Keluarga masih dalam perbincangan untuk mengadakan upacara persemadian bersama mangsa lain.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dalam satu kenyataan berkata tujuh mangsa yang maut dalam nahas membabitkan sebuah van persiaran di KM 4.8 Jalan Genting Highlands kira-kira jam 1.15 tengah hari ketika dalam perjalanan dari Genting Highlands untuk pulang ke Pulau Pinang.

7 lagi mangsa yang cedera sedang menerima rawatan di hospital.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Loading...
Terkini