comscore
Tumpuan :
Nasional

Nahas Genting Highlands: APAD beri surat tunjuk sebab kepada syarikat bas persiaran

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengeluarkan surat tunjuk sebab (STS) kepada syarikat bas persiaran yang terlibat dalam kemalangan maut di Bentong, Pahang pada Sabtu lalu.

Dalam kenyataan hari ini, APAD memaklumkan, tindakan itu dibuat bagi mendapatkan penjelasan mengenai kejadian kemalangan yang meragut dua nyawa dan 13 lagi cedera.

“Ditegaskan bahawa sekiranya hasil siasatan dan laporan yang diterima mendapati berlaku sebarang perlanggaran syarat lesen perkhidmatan oleh pihak syarikat, APAD boleh mengambil tindakan tegas sama ada penggantungan atau pembatalan lesen di bawah Seksyen 45 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715],” menurut kenyataan itu.

Dalam kejadian sekitar 10.35 pagi, bas persiaran yang membawa 21 penumpang, terbalik dan meragut dua nyawa pelancong lelaki warga China, selepas terbabas sebelum melanggar tembok tengah pembahagi jalan di kawasan selekoh KM16.6 Jalan Genting Highlands.

Bas berkenaan membawa 18 pelancong warga China, seorang pemandu pelancong dan dua pemandu, sedang dalam perjalanan turun dari Genting Highlands.

Dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dikenali sebagai Zhang Ping, 58, dan Wang Suhong, 49 tahun.

Mengulas lanjut, jelas APAD, pihaknya sedang bekerjasama dengan agensi terlibat bagi mendapatkan laporan lengkap insiden berkenaan sebelum sebarang tindakan sewajarnya dapat dilaksanakan.

“Semakan awal mendapati bahawa bas persiaran tersebut telah dilesenkan di bawah syarikat M. Kumar Trans Tour Sdn Bhd. Dalam hal ini, APAD memandang serius isu membabitkan keselamatan orang ramai susulan insiden tersebut,” menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, APAD tidak akan sesekali berkompromi terhadap mana-mana kesalahan melibatkan kenderaan pengangkutan awam darat yang dipandu secara berbahaya sehingga mengakibatkan kemalangan.

Sebelum ini, media melaporkan, pemandu bas persiaran yang terbabit direman selama empat hari sehingga Rabu ini.

Selain itu, polis mendapati pemandu berusia 32 tahun itu tidak memiliki lesen memandu dan mempunyai 27 rekod saman lampau atas pelbagai kesalahan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini