comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Nahas Elmina: Urusan pengebumian semua jenazah lancar

 

SEPANG : Jenazah pemandu e-hailing, Allahyarham Sharipuddin Shaari, seorang daripada 10 mangsa tragedi pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam Khamis lalu, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Salak Tinggi di sini, hari ini.

Jenazah Sharipuddin selesai dikebumikan kira-kira jam 12.50 tengah hari.

Terdahulu, jenazah tiba di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin untuk disembahyangkan.

Dianggarkan lebih 100 orang termasuk ahli keluarga dan penduduk setempat, hadir bagi memberikan penghormatan terakhir.

Urusan pengebumian turut dibantu beberapa anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sepang.

Allahyarham, 51, meninggalkan isteri Suriana Muda, 43, serta dua anak berusia 16 dan 9 tahun.

Jenazah Mohammad Taufiq tiba di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana. – FOTO NSTP

Sementara itu, di Ampang, jenazah Allahyarham Mohammad Taufiq Mohd Zaki, 38, dikebumikan di Tanah  Perkuburan Islam Ukay Perdana.

Jenazah pegawai khas kepada ADUN Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun itu tiba pada jam 12.30 tengah hari.

Terdahulu, jenazah dibawa ke Masjid Bukit Indah, Ampang untuk solat jenazah kali kedua oleh ahli keluarga dan kariah di kawasan terbabit.

Jenazah Mohammad Taufiq sebelum itu disembahyangkan di Masjid Jamek Ar-Rahimiah, Klang.

Suzana Paiman, 38, isteri Allahyarham Mohammad Taufiq Mohd Zaki, tidak dapat menahan sebak ketika menyiram air di pusara suaminya di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang.

Allahyarham meninggalkan isteri dan empat  anak berusia antara tiga hingga 10 tahun.

Nahas pesawat kira-kira jam 2.48 petang di Elmina, Shah Alam, Khamis lalu meragut 10 nyawa.

Mangsa yang maut adalah dua juruterbang, Shahrul Kamal Roslan berusia 41 dan Heikal Aras Abdul Azim (45).

Enam lagi adalah penumpang iaitu EXCO Pahang Datuk Seri Johari Harun (53), Kharil Azwan Jamaludin (43), Shaharul Amir Omar (49), Mohamad Naim Mohamed Muaidi (35) Muhammad Taufiq Mohd Zaki (37) dan Idris Abdol Talib @ Ramali (41).

Turut terkorban, penghantar makanan, Muhammad Hafiz Muhammad Salleh (32) serta pemandu e-hailing, Sharipuddin Shaari (51).

Loading...
Terkini