comscore
Tumpuan :
Nasional

Nahas Elmina: Sepakat dan membuat keputusan tidak dikebumikan dalam satu liang – Isteri mangsa

Foto ihsan pembaca

PUTRAJAYA: “Ahli keluarga sudah sepakat dan membuat keputusan tidak dikebumikan dalam satu liang.”

Itu keputusan yang dibuat keluarga Allahyarham Sharipuddin Shaari, pemandu Grab yang maut dalam nahas pesawat Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam, kelmarin.

Suriana Muda 43, dari Taman Desa Vista, Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) berkata keputusan itu dibuat bagi memudahkan mereka menziarahi kubur arwah yang berdekatan dengan kediaman di Tanah Perkuburan Islam, Sultan Hishamuddin BBST.

“Saya sudah melihat gambar keadaan jenazah arwah suami melalui gambar yang ditunjukkan pihak hospital namun setakat ini tidak mahu kongsikan dengan pihak luar dan biarlah ia menjadi rahsia,” kata Suriana.

Beliau yang juga suri rumah berkata, dia akan simpan rahsia itu jadi kenangan sepanjang hidupnya untuk membesarkan anak-anak.

Tambahnya mereka sekeluarga masih terkejut dengan kejadian itu dan masih sabar menunggu bila jenazah dapat dikeluarkan untuk dikebumikan.

Suriana juga sudah memaklumkan kepada pihak bertanggungjawab untuk menguruskan pengebumian jenazah arwah suami.

Arwah Sharipuddin yang berasal dari Arau, Perlis meninggalkan dua anak yang masih bersekolah iaitu Muhammad Sharul Izuan, 16, dan Nur Izzara Arissya, 9 tahun.

Sebelum ini media melaporkan semua waris diberikan hak untuk mengebumikan jenazah individu tersayang di mana sahaja termasuk di kampung halaman masing-masing.

Selain itu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan membantu menguruskan jenazah mangsa nahas serta menyediakan van jenazah.

JAIS juga menawarkan untuk mengebumikan semua jenazah dalam satu liang jika dipersetujui waris.

Loading...
Terkini