comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Nahas Elmina: CVR dihantar ke Singapura, dapatkan semula rakaman suara 30 minit terakhir

 

Oleh: Juliana Sharin

PUTRAJAYA: Kotak perakam suara kokpit (CVR) daripada pesawat ringan yang terhempas di Bandar Elmina Khamis lalu ditemukan dalam keadaan luarannya rosak teruk.

Bagaimanapun Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kad memorinya (memory puck) dalam komponen itu masih berada dalam keadaan baik ketika dibuka Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Sabtu lalu.

Kotak perakam suara kokpit (CVR) pesawat jenis Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Bandar Elmina Khamis lalu, ditemui dalam keadaan hangus terbakar. Foto ihsan MOT

Kotak rakaman itu telah dihantar ke makmal di Singapura semalam, untuk mendapatkan semula data rakaman suara 30 minit terakhir.

“Pada hari Sabtu, peralatan tersebut telah dibuka untuk mendapat memory puck tersebut dan didapati masih dalam keadaan yang baik dan oleh sebab kita tidak ada peralatan untuk kesan data rakam tersebut jadi ‘memory puck’ tersebut perlu dihantar ke Singapura pada Ahad (semalam),” katanya ketika ditanya mengenai perkembangan siasatan nahas pesawat berkenaan, hari ini.

Artikel berkaitan: Nahas Elmina: Penyiasat AS mula periksa lokasi nahas 

Singapura menurutnya memiliki kepakaran menerusi Technical Transport Singapore Bureau bagi mengesan data di dalam kad memori itu.

“Selepas itu kita mendapat bantuan teknikal daripada pihak Technical Transport Singapore Bureau dan pakar-pakar mereka juga datang ke Malaysia hari yang sama,” tambahnya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan di Putrajaya.

Pada majlis itu beliau turut meminta tetamu yang hadir untuk bersama-sama bertafakur selama seminit bagi memperingati 10 mangsa yang terkorban.

Artikel berkaitan: Kotak perakam suara kokpit pesawat ditemui 

Khamis lalu, BSKU menemui CVR iaitu sebahagian daripada kotak hitam milik pesawat malang terbabit pada 10.20 malam.

CVR mampu merakam sebarang bunyi dalam kokpit sebelum pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) itu terhempas di Elmina, Seksyen U16, Shah Alam.

 

 

 

 

 

 

 

Loading...
Terkini