Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid
SHAH ALAM: Polis Selangor mengesahkan lebih sepuluh saksi telah dipanggil memberi keterangan berkaitan nahas pesawat jenis Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor 17 Ogos lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, antara saksi yang dipanggil termasuk pihak syarikat senerbangan swasta dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia, (CAAM).
“Siasatan masih berjalan dan pihak polis dah merakam keterangan daripada berbelas saksi termasuk yang mempunyai rakaman tragedi di mana ia boleh membantu siasatan pihak polis” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Program PDRM Selangor Merdeka Ride yang turut dihadiri oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah di perkarangan Stadium Shah Alam.
Ujarnya lagi, siasatan berkenaan nahas pesawat itu masih berterusan dan pihak polis akan melanjutkan siasatan jika wujud sebarang unsur jenayah dan ‘foul-play’.
Artikel berkaitan: Kronologi pesawat terhempas di Elmina
Pesawat Beechcraft Model 390 Premier 1 terhempas di Bandar Elmina pada 17 Ogos lalu mengorbankan 10 individu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Datuk Seri Johari Harun.
Ketika insiden, pesawat malang itu dalam penerbangan dari Langkawi ke Subang dan telah mendapat pelepasan untuk mendarat pada jam 2.48 petang.