KLANG: Laporan awal nahas pesawat jenis Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor, pada 17 Ogos lalu, akan dikeluarkan Jumaat ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata seperti yang dinyatakan sebelum ini, laporan akan siap dalam tempoh dua minggu.
Katanya, laporan itu adalah mengenai analisis data berhubung hasil rakaman suara 30 minit dalam komponen ‘memory puck’ pesawat.
“Kita akan keluarkan laporan awal pada Jumaat ini, 15 September,” katanya kepada media selepas merasmikan Kongres Wanita DAP di grand Centro Ballroom, di sini, hari ini.
Dalam insiden pada jam 2.50 petang 17 Ogos lalu, 10 individu disahkan maut selepas pesawat jenis Beechcraft Premier 1 terhempas di Bandar Elmina dekat Shah Alam.
Lapan yang maut adalah penumpang dan dua kru pesawat, manakala dua lagi adalah seorang pemandu kereta dan penunggang motosikal yang melalui kawasan itu ketika pesawat terhempas.