comscore
Tumpuan :
Nasional

Nahas Elmina: Keluarga pemandu e-hailing syukur dapat urus jenazah lebih awal

Anak sulong pemandu e-hailing yang terkorban dalam tragedi Elmina, Sahrul (tengah) bersama anggota APM menunggu ketibaan jenazah di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Bandar Baru Salak Tinggi. – Foto NSTP

SEPANG: Ahli keluarga pemandu e-hailing, Sharipuddin Shaari, 53, yang terkorban dalam tragedi Elmina di Shah Alam, Khamis lalu bersyukur kerana jenazah dapat dikeluarkan lebih awal sehari seperti yang dimaklumkan sebelum ini, selepas beberapa hari menunggu untuk proses dokumentasi dilakukan pihak bertanggungjawab.

Anak sulung Allahyarham, Sahrul Izuan, 16, berkata ibunya, Suriana Muda, 43, sudah bertolak ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Kelang, (HTAR) jam 6.30 pagi bersama anak saudara untuk menuntut jenazah.

Manakala ahli keluarga yang lain berkumpul di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) di sini bagi menanti ketibaan jenazah dari  HTAR.

Katanya, jenazah akan terus dibawa ke masjid untuk disembahyang dan dikebumikan di tanah perkuburan berdekatan.

​​​​​​​“Kami sekeluarga reda dan menerima ketentuan Allah SWT serta menganggap pemergian arwah ayah, mempunyai hikmah tersendiri,” katanya ketika ditemui di sini.

Sementara itu, beberapa anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sepang turut hadir di perkarangan masjid untuk majlis pengebumian arwah.

Pegawai APM Sepang, Leftenan (PA) Faizal Mohd Sharif, berkata pihaknya diarahkan APM Selangor untuk membantu pengebumian jenazah Sharipuddin.

Katanya, arwah sebelum ini anggota APM Kedah dan aktif bertugas di Pusat Kuarantin COVID-19 di Hotel Seri Malaysia di Alor Setar.

“Seramai lapan anggota ditempatkan di masjid ini dan APM akan membantu mana yang perlu sehingga ke tanah perkuburan,” katanya.

Loading...
Terkini