comscore
Tumpuan :
Nasional

Nahas Elmina: Jika ada unsur ‘foul play’ polis akan ambil alih siasatan

Foto : NSTP

KLANG: Tragedi nahas pesawat jenis Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina, Shah Alam Khamis lalu; polis akan mengambil alih siasatan jika ada unsur ‘foul play’.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan, setakat ini beliau masih menunggu sekiranya terdapat laporan dari Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) yang menjuruskan kepada unsur berkenaan.

Katanya, siasatan sedang dijalankan oleh pihak BSKU bagi menentukan bagaimana dan kenapa kejadian nahas berlaku.

“Polis sudah selesai, kita sudah merakamkan kenyataan saksi awam..yang mana mungkin sebahagian siasatan ini boleh digunakan oleh BSKU.

“Kalau ada ‘foul play’ (unsur jenayah), mungkin polis siasat..setakat ini tidak nampak ‘foul play’.

“Jika pihak BSKU ada nampak apa-apa, BSKU akan maklum (kepada polis).. kemudian polis akan ambil alih (siasatan),” katanya kepada pemberita ketika ditemui di perkarangan Istana Alam Shah, di sini hari ini.

Hussein berkata, sehingga kini pihaknya masih menunggu sebarang perkembangan terkini atau makluman dari BSKU berhubung siasatan yang dijalankan.

“Sekarang polis menunggu sebarang makluman dari pihak BSKU. BSKU bertanggungjawab menyerahkan sebarang laporan mereka (BSKU) kepada MOT (Kementerian Pengangkutan),” katanya.

Beliau turut mengulas ketika ditanya mengenai video kamera papan pemuka (dashcam) di lokasi nahas.

“Setakat ini tiada tambah (laporan baru), itu sahaja..Kita tunggu lagi kalau ada (saksi) yang memiliki apa-apa bahan yang boleh bantu siasatan. Kita tunggu..(setakat ini) memang memadai,” katanya.

Semalam, beliau mengesahkan tiada mangsa baru selain 10 yang dilaporkan sebelum berikutan proses padanan ujian asid deoksiribonukleik (DNA), cap jari serta odontologi dengan waris sudah lengkap dan selesai.

Jelas beliau, pihaknya menerima ujian DNA semua sampel dihantar sebelum ini dan memutuskan mangsa nahas dikenalpasti dan bersedia diserahkan kepada keluarga mangsa pagi semalam.

Khamis lalu, media  melaporkan 10 lelaki tempatan disahkan maut dalam nahas pesawat termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang juga EXCO Pahang, Datuk Seri Johari Harun.

Pesawat yang berlepas dari Langkawi menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) mendapat kebenaran untuk mendarat pada jam 2.50 petang dan terhempas dua minit sebelum mendarat.

Loading...
Terkini