Oleh: Kumaran Rajamoney
SUNGAI PETANI: Jenazah penunggang motosikal yang maut dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie, dekat Elmina, Shah Alam, Muhamad Hafiz Muhamad Salleh dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al-Huda, Kampung Jerung di sini.
Pengebumian dilakukan sebaik jenazah tiba di kampung halamannya itu sekitar jam 3 petang.
Proses pengebumian selesai pada jam 3.45 petang selepas jenazah disolatkan di masjid.
Lebih 500 orang termasuk saudara mara dan masyarakat setempat hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Artikel berkaitan: [VIDEO] Nahas Elmina: Rakan-rakan Allahyarham Muhamad Hafiz berkonvoi iring jenazah ke Kedah
Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim.
Terdahulu, penghantar makanan itu merupakan jenazah pertama yang dikenalpasti identiti melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Jenazah kemudiannya telah dimandi dan dikapankan oleh petugas Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Masjid Jamek Ar-Rahimiah berdekatan HTAR sebelum dituntut oleh bapanya, Muhamad Salleh, 57, pada kira-kira pukul 9.30 pagi ini.
Serahan jenazah Allahyarham dibuat selepas sidang akhbar oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan yang mengesahkan identiti mangsa dan kebenaran tuntutan jenazah kepada keluarga.
Nahas pesawat persendirian ringan jenis Beechcraft 390 (Premier 1) di Persiaran Elmina, Shah Alam, kelmarin mengorbankan 10 nyawa termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.
Muhamad Hafiz yang juga anak sulung daripada lima beradik adalah pekerja p-hailing yang kebetulan lalu di lokasi kejadian dan menjadi antara 10 mangsa yang maut dalam nahas tersebut.