SUNGAI PETANI: Allahyarham Muhamad Hafiz Muhamad Saleh terus menabur bakti kepada keluarganya walaupun telah pergi mengadap Ilahi dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lepas.
Bapanya, Muhamad Saleh Othman, 57, berkata, anak sulung daripada lima beradik itu sememangnya seorang yang bertanggungjawab dan mengutamakan keluarga.
Artikel berkaitan: Keluarga Muhammad Hafiz terima bayaran dari caruman PERKESO
Muhamad Salleh berkata, arwah anaknya kini terus menunaikan tanggungjawab kepada mereka apabila dia dan isteri menerima faedah bulanan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
“Arwah memang macam itu dan sebab itu sampai umur 32 tahun tidak kahwin sebab dia bertanggungjawab. Dia utamakan keluarga. Itu sifat dia.
“Apa yang dia buat adalah contoh pada adik-adik,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Faedah PERKESO bagi kes ‘Rider terkorban nahas pesawat terhempas di Elmina’ di Taman Sidam Kiri di sini pada Isnin.
Dia berkata, mereka reda dengan ketentuan Ilahi meskipun hati masih agak berat untuk melepaskan pemergian Muhamad Hafiz.
“Memang terasa sangat (pemergian anak). Jarak seminggu ini kurang sikitlah tapi mungkin makan masa untuk melupakan arwah,” katanya.
Muhamad Saleh bercadang menggunakan wang faedah diterima untuk mengadakan majlis tahlil untuk arwah Muhamad Hafiz, selain melunaskan hutang yang tertunggak sekiranya ada.
“Terima kasih kepada semua pihak terlibat termasuk PERKESO yang membantu kami selepas pemergian anak,” katanya.
Adik Allahyarham Muhamad Hafiz, Norhikmah, 26, memberitahu, abang sulungnya merupakan seorang yang tegas, namun amat rapat dengan ahli keluarga termasuk dirinya.
“Disebabkan itu, kami sentiasa menghormati, mendengar kata dan menjadikan abang sulung sebagai tempat rujukan untuk sebarang tujuan sekalipun,” katanya.
Terdahulu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, waris Muhamad Hafiz akan menerima bayaran pencen PERKESO sebanyak RM1,894.75 dan Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000.