KLANG: Jenazah baki sembilan mangsa nahas pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) di Bandar Elmina, Shah Alam, kelmarin, akan diserahkan kepada waris, mulai jam 9 pagi ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata jenazah akan dibawa ke Masjid Jamek Ar-Rahimiah untuk diuruskan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Katanya, proses mengenal pasti mayat semua mangsa terbabit sudah selesai semalam.
“Mesyuarat bersama semua agensi yang terbabit bencana sebentar tadi (semalam) dimaklumkan keputusan ujian DNA semua mangsa sudah diperoleh dan identiti mangsa dikenal pasti.
“Kita memutuskan untuk serahkan jenazah semua mangsa kepada waris bermula jam 9 pagi esok (hari ini),” katanya pada sidang media di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini malam tadi.
Waris 9 jenazah yang maut dalam nahas pesawat terhempas khamis lalu bersedia di Jabatan Forensik HTAR pagi ini.#NahasPesawat@BuletinTV3 pic.twitter.com/bwMcCll92N
— Hamdi Fahmi (@hamdiNewsMPB) August 20, 2023
Sembilan jenazah yang akan diserahkan kepada waris hari ini adalah jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun, dua juruterbang, Shahrul Kamal Roslan dan Heikal Aras Abdul Azim serta lima penumpang lain, Kharil Azwan Jamaludin, Shaharul Amir Omar, Mohd Naim Fawwaz Mohamed Muaidi, Muhammad Taufiq Mohd Zaki dan Idris Abdol Talib serta pemandu e-hailing, Sharipuddin Shaari.
Jenazah pertama mangsa nahas pesawat telah dituntut ahli keluarganya jam 9.30 pagi semalam.
Jenazah Muhamad Hafiz Muhamad Salleh, 32, dibawa pulang untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al-Huda, Kampung Jerong, Sungai Petani, Kedah.