KLANG : Baki sembilan jenazah mangsa tragedi pesawat Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina, Shah Alam, Khamis lalu dikebumikan di lokasi berasingan di Lembah Klang, Pahang serta Perak.
Mengikut senarai dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), enam daripada jenazah terbabit akan dikebumikan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Jenazah EXCO Pahang, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah di Batu Caves.
Dua juruterbang iaitu Shahrul Kamal Roslan dan Heikal Aras Abdul Azim masing-masing akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam (TPI) Klang Gate di Gombak serta Tanah Perkuburan Islam Presint 20 di Putrajaya.
Sementara itu, pemandu e-hailing, Sharipudin Shaari yang turut terkorban dalam nahas itu dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Salak Tinggi di Sepang.
Manakala penumpang pesawat, Mohammad Naim Fawwas Mohamed Muaidi di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan di Kajang dan Muhammad Taufik Mohd Zaki di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Kuala Lumpur.
Dua lagi penumpang akan dikebumikan di Pahang iaitu Khairil Azwan Jamaludin di Tanah Perkuburan Islam Felda Mempaga 1, manakala Idris Abdul Talib @ Ramali di Tanah Perkuburan Islam Barak Bentong.
Jenazah seorang lagi penumpang iaitu Shaharul Amir Omar akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Manjong, Perak.
Terdahulu, semua jenazah dituntut waris masing-masing di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) sebelum pengurusan jenazah diambil alih JAIS.
Van jenazah terakhir meninggalkan Jabatan Forensik HTAR membawa jenazah Heikal Aras pada jam 11.35 pagi ini.
JAIS melakukan proses pengurusan dan solat jenazah di Masjid Jamek Ar-Rahimiah terletak kira-kira 500 meter dari HTAR.
Jenazah pertama yang dibenar dituntut iaitu Muhamad Hafiz Muhamad Salleh, 32, telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al-Huda, Kampung Jerong, Sungai Petani, Kedah semalam.