KLANG: Proses bedah siasat jenazah mangsa nahas pesawat Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina, Shah Alam, semalam, dijangka selesai seawalnya Isnin ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, lebih 200 cebisan mayat dan 22 anggota badan terputus seperti tangan, kepala, kaki yang ditemui di lokasi kejadian sudah diserahkan kepada Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).
Artikel berkaitan: Operasi pencarian hampir 95 peratus selesai – KPN
“Pihak forensik akan buat bedah siasat terhadap anggota badan manakala 200 cebisan mayat yang ditemui itu akan dihantar ke Jabatan Kimia.
“Forensik juga sudah mengambil semua asid deoksiribonukleik (DNA) waris mangsa untuk dipadankan dengan badan mangsa ditemui.
“Proses pemadanan dan pengecaman mayat itu dijangka mengambil masa yang lama dengan kemungkinan paling awal boleh selesai pada Isnin ini,” katanya dalam sidang media di Jabatan Forensik HTAR di sini, hari ini.
Razarudin berkata, sebaik proses bedah siasat selesai jenazah mangsa akan diuruskan oleh pihak hospital bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan kerajaan negeri Selangor untuk urusan selanjutnya.