MIRI: Seorang wanita maut manakala tiga lagi cedera selepas terbabit kemalangan dua kenderaan di Jalan Lapangan Terbang di sini awal pagi tadi.
Mangsa, Lua Ukam, 56, disahkan maut di lokasi kejadian selepas kenderaan jenis Perodua Bezza dinaikinya bersama dua yang lain bertembung dengan kenderaan jenis pacuan empat roda.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) berkata, kemalangan itu mengakibatkan salah seorang mangsa tersepit di tempat duduk belakang kenderaan berkenaan.
“Operasi mengeluarkan mangsa dilakukan dengan menggunakan Rescue Tool dapat mengeluarkan mangsa dengan selamat,” katanya menerusi satu kenyataan.
Bagaimanapun, mangsa terbabit disahkan meningal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) yang turut berada di lokasi kejadian.
Mayat dihantar ke Hospital Miri untuk tindakan selanjutnya.
Kes terbabit masih dalam siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.