comscore
Tumpuan :
Nasional

Nahas bas: Siasatan awal dapati bas hilang kawalan sebelum terbalik – Polis 

Oleh: Fareez Azman

BENTONG: Bas persiaran yang terbalik dalam kemalangan di Kilometer 51.3-51.4 Lebuhraya KL-Karak pagi tadi, dipercayai akibat hilang kawalan.

Demikian jelas Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar ketika dihubungi Buletin TV3 sebentar tadi.

“Siasatan awal mendapati bas berkenaan hilang kawalan lalu terbalik  dan melintang di atas jalan.

“Keadaan jalan basah,” jelasnya.

Sementara itu, berdasarkan pemerhatian penulis, masih terdapat mangsa yang dirawat di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Bentong ketika ini.

Turut kelihatan, beberapa warga asing termasuk pelancong dari negara barat dilihat menerima rawatan lanjut.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, dua penumpang masing-masing warga asing maut, manakala dua lagi mangsa termasuk pemandu bas berkenaan cedera parah

11 lagi cedera ringan dan semua mangsa dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan lanjut.

Siasatan awal polis juga mendapati, bas persiaran berkenaan bertolak dari Terminal Bas Bersepadu Selatan (TBS) menuju ke Kuantan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini