comscore
Tumpuan :
Nasional

Nahas bas ekspres: ‘Tidak sangka perjalanan terakhir arwah’

 

Mariani (dua dari kanan) bersama keluarga dan isteri kepada anggota bomba yang maut, Halilah Mat (kanan sekali). – FOTO NSTP

LIPIS: Isteri kepada pemandu bas ekspres Abd Aziz Daud, 63, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 81, Jalan Lipis-Merapoh di Kampung Kubang Rusa memberitahu, malam kelmarin adalah perjalanan pertama suaminya selepas kembali daripada bercuti selama tiga hari.

Mariani Mohd Noor, 56, berkata arwah suaminya ke Kota Bharu dari rumah (di Machang) selepas solat Asar untuk memulakan perjalanan ke Kuala Lumpur dari Kota Bahru.

Artikel berkaitan: [VIDEO] Bas rempuh pokok, tiga maut

“Saya tidak menyangka pagi tadi adalah perjalanan terakhir arwah selepas memandu bas dan lori 30 tahun,” katanya.

Sementara itu, anak sulung mangsa, Nurizzati, 34 berkata arwah ayahnya selalu termenung dan tidak begitu ceria.

“Sepanjang arwah ayah ada di rumah, dia selalu termenung dan tidak begitu ceria, tetapi sempat membawa anak saya membonceng motosikal pada waktu petang.”

Dalam kemalangan jam 1.50 pagi tadi, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Mohd Syukri Mat Noor, 55, dan buruh binaan warga Bangladesh, Hossain Kamal, 41, turut maut.

Nurizzati berkata, dia berada di rumah ibunya sejak seminggu lalu kerana anaknya tidak sihat dan kebetulan arwah bapanya turut bercuti tiga hari.

“Arwah ayah juga merancang dan minta anak-anak yang tinggal jauh dapat balik untuk sama-sama bercuti ke Kuantan selain menghadiri kenduri kahwin di sana,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Kuala Lipis, di sini.

Sementara itu, menantu Allahyarham, Kudri Adnan, 46, berkata dia mendapat tahu daripada rakan pemandu bapa mentuanya berhubung kemalangan terbabit.

Menurutnya, pemanggil itu memaklumkan bapa mentua baru memandu kira-kira lima minit selepas bertukar giliran di Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Merapoh untuk meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur.

‘Saya dimaklumkan oleh rakan arwah ayah, arwah mula memandu bas selepas berhenti rehat dan makan di hentian itu. Kejadian itu berlaku kira-kira lima minit kemudian.

“Ibu mentua mengetahui mengenai kejadian kira-kira jam 2.15 pagi (semalam) daripada rakan pemandu arwah.

“Saya yang tinggal di Kota Bharu bergegas ke Machang untuk mengambil ibu mentua di Machang dan tiba di sini (Hospital Kuala Lipis) kira-kira jam 8 pagi,” katanya.

Dalam pada itu, anak bongsu kepada Mohd Syukri, Muhammad Hakimi, 24, berkata arwah bapanya dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan anak-anak lain di ibu negara.

“Sebelum itu, saya mendapat panggilan pertama dari pihak BBP Kuala Krai kira-kira jam 2.15 pagi tadi (semalam) bertanyakan bapa saya di mana tanpa memaklumkan berkaitan kejadian ini.

“Oleh kerana tidak sedap hati, saya menghubungi telefon bimbit ayah kira-kira jam 5 pagi, tetapi diangkat oleh anggota polis dan memaklumkan kejadian,” katanya.

Loading...
Terkini