Tumpuan :
Nasional

Nahas 9 kenderaan di Kulai, 4 tercedera

Foto tular

KULAI: Satu kemalangan membabitkan sembilan kenderaan, termasuk empat lori dan lima kereta, berlaku di Jalan Senai-Seelong, dekat sini, pagi semalam.

Ia bagaimanapun tidak membabitkan kemalangan jiwa.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee, berkata, empat pemandu yang terlibat dalam kejadian itu dilaporkan mengalami kecederaan ringan.

Beliau menjelaskan kejadian berlaku sekitar jam 10.30 pagi, apabila sebuah lori Hino yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun hilang kawalan.

“Lori terbabit telah melanggar belakang sebuah Perodua Kancil yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun, yang sedang berhenti.

“Lori tersebut kemudian melanggar enam kenderaan lain yang berada di hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tan menambah, lori itu kemudian terbabas bersama Perodua Kenari yang dipandu seorang lelaki berusia 42 tahun dan masuk ke laluan bertentangan, lalu melanggar sebuah lagi lori yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 46 tahun.

Kejadian itu menyebabkan tiga pemandu kereta dan seorang pemandu lori mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharja Tun Ibrahim untuk rawatan lanjut.

Pemandu kenderaan lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Munisha Aju Anak Hamkah, di talian 012-824600.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini