Tumpuan :
Nasional

Nahas 7 maut: Polis temui rim besi dipercayai milik tayar lori

Keadaan kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan sebelum Hentian Rehat dan Rawat Ayer Keroh arah Utara, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR: Polis berjaya menemukan rim besi yang dipercayai berasal daripada tayar lori yang menjadi punca kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 204 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Utara pada 23 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah dalam satu kenyataan memaklumkan komponen tersebut dijumpai di Pusat Pelupusan Sampah di Jalan Solok, Tangkak, Johor, semalam.

“Rim besi ini telah diserahkan oleh subkontraktor Propel (Projek Penyelenggaraan Lebuhraya Berhad) kepada pihak polis. Satu laporan rampasan telah dibuat, dan komponen ini akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis lanjut,” katanya.

Sebelum ini, pihak polis dilaporkan sedang berusaha mengesan tayar lori yang dipercayai mencetuskan kemalangan tragis tersebut.

Pada 23 Disember lalu, tujuh nyawa terkorban manakala 33 lagi cedera selepas sebuah bas persiaran yang membawa 27 penumpang terlibat dalam kemalangan bersama dua lori, sebuah kereta, dan kenderaan pelbagai guna (MPV).

Siasatan awal mendapati, insiden berlaku apabila bas persiaran berkenaan melanggar tayar lori yang tercabut dan berada di lorong tengah. Pelanggaran itu menyebabkan bas hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan tiga kenderaan lain.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini