Tumpuan :
Nasional

Nahas 7 Maut: Petugas kesihatan lihat 3 kanak-kanak merangkak keluar dari MPV

KUALA LUMPUR: Seorang petugas kesihatan, Nurhidayu Abdullah, menceritakan detik cemas apabila melihat tiga kanak-kanak merangkak keluar dari sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang bertembung dengan bas ekspres dalam nahas tragis di Alor Gajah, Melaka, semalam.

Menurut Nurhidayu, suasana di lokasi kejadian kelam-kabut dengan orang ramai berusaha membantu mengeluarkan mangsa dari bas serta kenderaan lain yang terlibat.

“Saya dan pemandu ambulans sedang dalam perjalanan membawa seorang pesakit dari Hospital Melaka ke Shah Alam. Kami melalui kawasan itu hanya beberapa minit selepas nahas berlaku,” katanya.

Nurhidayu segera turun dari ambulans dan memberikan rawatan awal kepada mangsa.

“Apabila saya turun, tiba-tiba ada budak merangkak keluar. Tiga kanak-kanak selamat, tetapi salah seorang mengalami kecederaan ringan akibat gigi patah. Saya bantu mereka sebelum menyedari ada lagi mangsa di dalam MPV,” ujarnya.

Beliau kemudian beralih memberi rawatan kepada pemandu kedua bas ekspres yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

“Saya membantu menghentikan pendarahan. Pemandu itu sempat memberitahu bahawa dia bersama rakannya membawa sekumpulan pelancong dari Singapura ke Kedah,” tambahnya.

Kemalangan kira-kira jam 8.40 malam itu membabitkan sebuah bas ekspres, lori, treler, MPV jenis Toyota Estima, dan Perodua Bezza.

Tujuh mangsa, termasuk seorang kanak-kanak berusia dua tahun, disahkan maut dalam nahas di Kilometer 204 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran Alor Gajah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini