KUALA LUMPUR: Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) mendapati tayar sebuah lori yang tercabut sehingga mengakibatkan nahas di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Ayer Keroh pada 23 Disember lalu dipercayai akibat kerosakan pada hujung ‘stub axle’ di gandar hadapan kenderaan itu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mahmood Razak Bahman menerusi satu kenyataan media hari ini, pemeriksaan mendapati kenderaan tersebut telah melakukan pemeriksaan awal di PUSPAKOM pada 28 Mac lalu.
“Pemeriksaan PUSPAKOM terhadap sebuah lori yang terlibat dalam nahas di Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Ayer Keroh pada 23 Disember lalu mendapati ada kemungkinan bahawa tayar kenderaan tersebut tercabut akibat daripada kerosakan pada hujung ‘stub axle’ yang terputus di gandar hadapan.
“Kenderaan tersebut merupakan sebuah lori berjenama Foton yang baharu, yang diperbuat pada tahun 2023. Kenderaan tersebut telah melakukan Pemeriksaan Awalan di PUSPAKOM pada 28 Mac 2024 lepas dan tarikh pemeriksaan yang akan datang akan dijalankan pada 28 Mac 2025,” jelas kenyataan itu.
Tambahnya, penemuan itu peringatan penting kepada pemilik kenderaan perdagangan untuk memastikan kenderaan mereka diselenggara dengan baik dan mengikut jadual ditetapkan.
“Penyelenggaraan secara berkala bukan sahaja penting untuk keselamatan pemandu tetapi juga bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya.
“PUSPAKOM turut komited untuk meneliti dan memperketatkan tatacara operasi kami bagi memastikan setiap kenderaan yang diperiksa memenuhi piawaian keselamatan yang lebih tinggi,” katanya lagi.
Dalam pada itu, PUSPAKOM turut menyokong penuh tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam memeriksa dan memantau bengkel berdaftar serta bengkel tidak berlesen yang disyaki menyediakan perkhidmatan penyewaan komponen kenderaan bagi tujuan pemeriksaan di pusat pemeriksaan kenderaan.
“Operasi ini wajar disokong oleh semua rakyat Malaysia, termasuk pemilik kenderaan perdagangan, bagi memastikan keselamatan bersama di jalan raya. Kami berharap tindakan JPJ dan KPDN dapat menghapuskan bengkel-bengkel yang menjalankan perniagaan tidak bertanggungjawab ini.
“Bengkel-bengkel yang menawarkan perkhidmatan ini perlu sedar bahawa mereka mempertaruhkan nyawa demi keuntungan. Oleh itu, kami menyeru agar mereka menghentikan aktiviti tidak bertanggungjawab ini dengan segera,” katanya lagi.
Syarikat itu tambahnya bersedia untuk bekerjasama dalam usaha pemantauan bagi memastikan integriti lebih terjamin dan pematuhan SOP.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.