Oleh: Fatin Hanani Sahimi
BANGI: Suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas Bandar Batu Bangi, selepas jenazah lima sekeluarga yang maut dalam kemalangan Ayer Keroh semalam, selamat dikebumikan.
Jenazah Khairul Ikhwan Mazupi, 32, Ramli Ab Wahab, 66, Fauziah Jaafar dikebumikan dalam tiga liang lahad jam 7.45 malam.
Manakala Allahyarham Fadzlenna Ramli, 32, dikebumikan dalam satu liang lahad bersama anak bongsunya Muhammad Umar Khairul Ikhwan, 2.
Terdahulu, jenazah dikafankan di Hospital Melaka sebelum dibawa pulang ke Bangi untuk disembahyangkan di Surau Al Ikhlas Seksyen 4, Bandar Baru Bangi kira-kira jam 5.45 petang.
Solat jenazah dipimpin oleh Imam Muda surau berkenaan Mohd Nazmi Mohd Yusof dan disertai kira-kira 500 jemaah yang terdiri daripada rakan, jiran dan kawan sekerja.
Terdahulu kesemua mangsa dilaporkan maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 204, Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di Melaka semalam.
Dua lagi anak Allahyarham, Muhammad Uwais Al-Qarni Khairul Ikhwan dan adiknya, Nur Sofea Humaira Khairul Ikhwan berusia tujuh dan empat tahun kini ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Melaka.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Ashari Abu Samah berkata nahas tersebut yang membabitkan sebuah bas, dua lori, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah kereta dikatakan berlaku apabila tayar sebuah lori dari arah utara ke selatan tercabut dan berada di lorong tengah jalan.
Katanya bas yang membawa 27 penumpang dari arah sama terlanggar tayar berkenaan sebelum hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar sebuah kereta seterusnya bertembung dengan sebuah lagi lori dan MPV yang sedang menghala ke utara.
Turut maut dalam kemalangan berkenaan pemandu bas persiaran Noorisnien Khamid, 56, dan penumpang bas persiaran warga Singapura Lamrah Asid Ali, 66.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.