Tumpuan :
Nasional

Nahas 7 maut: 2 beradik terselamat semakin pulih, stabil

Oleh: Siti Khadijah Jaafar

BANGI: Dua beradik yang terselamat dalam kemalangan ngeri membabitkan lima kenderaan di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara Isnin lalu, dilaporkan semakin pulih dan stabil.

Muhammad Uwais Al-Qarni Khairul Ikhwan, 7 tahun dan Nur Sofea Humaira, 4 tahun bagaimanapun masih bersedih setelah dimaklumkan tentang pemergian ibu bapa dan adik bongsu mereka dalam tragedi itu.

Datuk kepada kanak-kanak itu, Datuk Mazupi Abdul Rahman, 64 tahun, memaklumkan cucunya kini dalam proses pemulihan dan akan meneruskan rawatan susulan di Jabatan Ortopedik Hospital Serdang dan Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Kuala Lumpur.

“Cucu saya ni keadaannya stabil tetapi dari segi penyembuhan memakan masa yang lebih lama kerana kondisinya adalah kecederaan di bahagian peha sebelah kanan dan juga di pinggang dan peha juga yang cucu perempuan ni.

“Mengikut kata doktor dia mengambil masa sedikit. Jadi esok saya akan’follow up’ surat rujukan ke Hospital Serdang untuk mendapatkan tarikh,” katanya.

Menurutnya kanak-kanak berkenaan ada bertanyakan mengenai ibu bapa mereka, walaupun telah dimaklumkan berhubung berita pemergian ahli keluarga.

“Sebaik sahaja kita maklumkan pemergian ibu bapa mereka tu dia faham dan terus menangis, kedua-duanya serentak menangis sedih sehingga memakan masa sehingga 20 minit juga untuk cool down.

“Semua ahli keluarga ambil bahagian masing-masing untuk pujuk dan akhirnya mereka senyap dan mengajak kita pergi ziarah kubur. Kita kata macam mana nak pergi sebab dia tak boleh jalan dan perlu tunggu selepas pulih. Petang ini dia tanya mana ayah, mana ummi,” jelasnya kepada Buletin TV3, hari ini.

Mengenai persekolahan, Datuk Mazupi berkata Muhammad Uwais dan Nur Sofea Humaira hanya akan bersekolah selepas disahkan sembuh sepenuhnya oleh pakar perubatan.

“Uwais bersekolah di Sekolah Al-Amin Sungai Tangkas, Bandar Baru Bangi, sebagai datuk, saya bertanggungjawab menjaga mereka, bukan sahaja sebagai cucu tapi dah bertukar jadi anak yatim piatu. Saya dan ahli keluarga lain akan menjaga amanah ini sebaiknya.

Ibu saudara dua beradik ini, Nurakila Mazupi pula berkata, dia sekeluarga bergilir-bergilir memantau keadaan kanak-kanak itu serta memberikan sokongan moral untuk membantu perkembangan emosi mereka.

“Setakat ni Uwais sangat matang dia faham mak ayah dia dah tiada cuma mereka lebih kepada emosi sakit kaki. Sebelum ni kalua dia merajuk, dia akan cari ummi dia.

“Kami beri sokongan moral untuk semua adik-beradik, setakat ini kalau pujuk mereka akan tenang. Sebelum ni mereka memang dekat dengan rumah ni , memang dah rapat sangat,” ujarnya.

Rabu lalu Muhammad Uwais menjalani pembedahan di bahagian paha kanan, manakala Nur Sofea di paha kiri, di Hospital Melaka dan telah dibenarkan pulang petang semalam.

Mereka antara yang terselamat dalam nahas yang meragut nyawa lima ahli keluarganya iaitu ibu bapa mereka Khairul Ikhwan Mazupi dan Fadzlenna Ramli.

Turut terkorban, adik bongsu dua beradik itu, iaitu Muhammad Umar, 2, serta datuk dan nenek dikenali sebagai Ramli Ab Wahab, 66, dan Fauziah Jaafar, 69.

Dua lagi yang maut pemandu bas persiaran, Noorisnien Khamid, 56, dan penumpang warga Singapura, Lamrah Asid Ali, 66.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini