Tumpuan :
Nasional

Nahas 7 kenderaan di KLK, 3 maut

Oleh: Fazli Ahmad

BENTONG: Tiga terbunuh dan lima cedera dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer 42 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, dekat sini, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima laporan membabitkan kebakaran sebuah treler dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur ke Kuantan pada jam 4:13 pagi.

Menurutnya, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bentong bergegas ke lokasi kejadian dan ketika usaha pemadaman dijalankan berlaku kemalangan di lorong bersebalahan.

“Lima kenderaan dilaporkan merempuh bahan binaan muatan treler yang terbakar itu kerana bertaburan di laluan bersebelahan.” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.

Difahamkan, treler terbabit dipercayai terbabas dan merempuh sebuah lori juga semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke arah Kuantan.

Akibat rempuhan itu, pemandu dan kelindan lori terbabit terbunuh.

Kemalangan itu menyebabkan muatan treler terbabit bertaburan di laluan bersebelahan dan dirempuh empat kereta dan sebuah lori dari arah Kuantan ke Kuala Lumpur menyebabkan seorang terbunuh serta lima tercedera.

Mayat semua mangsa terbunuh dalam nahas itu dihantar ke Hospital Bentong untuk proses bedah siasat.

Semua mangsa tercedera turut dihantar ke hospital sama.

Identiti semua mangsa terbunuh belum diperolehi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini