Tumpuan :
Nasional

Nahas 5 kenderaan: JPJ diarah segera buat siasatan terperinci – Anthony Loke

FOTO: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah diarah untuk segera menjalankan siasatan terperinci berhubung punca kemalangan yang mengorbankan tujuh nyawa dalam insiden di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selaran (PLUS) arah utara di Melaka, malam tadi.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JPJ turut diarah untuk mengambil tindakan susulan yang sewajarnya terhadap syarikat treler dan bas yang terlibat.

“JPJ akan terus melaksanakan tindakan penguatkuasaan yang tegas dan bersepadu terhadap kenderaan perdagangan berat bagi memastikan pematuhan aspek keselamatan sepanjang masa demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, siasatan awal pihak berkuasa mendapati kemalangan tersebut berpunca daripada tayar sebuah treler yang tercabut.

Keadaan itu menyebabkan sebuah bas persiaran mengelak lalu terbabas dan merempuh tiga kenderaan lain dari arah bertentangan.

“Saya bagi pihak seluruh warga Kementerian Pengangkutan (MOT) merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terkorban,” katanya.

Dalam insiden jam 8.30 malam tadi, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati bas persiaran yang membawa 27 penumpang itu terlanggar tayar hadapan sebelah kanan lori Foton yang tercabut di lorong tengah dan menyebabkan pemandunya hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan tiga kenderaan.

Mangsa yang maut ialah pemandu Toyota Estima, Khairul Ikhwan Mazupi, 32; bersama penumpang iaitu isterinya, Fadzlenna Ramli, 32; anak bongsu mereka, Muhammad Umar Khairul Ikhwan, 2, bapa Fadzlenna, Ramli Ab Wahab, 66 dan isteri, Fauziah Jaafar, 69, pemandu bas pelancong, Noorisnien Khamid, 56; dan penumpang bas yang juga warga Singapura, Lamrah Asid Ali, 66.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini