NIBONG TEBAL: Pengguna Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) yang dalam perjalanan menghala ke utara, dilaporkan terpaksa menempuh kesesakan luar biasa hingga lebih 10 kilometer (km) susulan kemalangan membabitkan tiga lori, pagi tadi.
Difahamkan, insiden kira-kira jam 7 pagi itu berlaku di Kilometer (KM) 157 berhampiran kawasan Hentian Sungai Bakap dari Jawi menghala ke Juru.
Kemalangan itu dilaporkan menyebabkan kedua-dua laluan terhalang, selain terdapat muatan tanah yang dibawa salah sebuah lori terbabit tumpah dan memerlukan kerja-kerja pembersihan dilaksanakan.
Beberapa status yang dimuat naik pengguna media sosial Facebook (FB) yang melalui lebuh raya itu, memaklumkan bahawa mereka tersangkut lebih dua jam sehingga lewat ke tempat kerja.
Mereka mendakwa walaupun dilencong ke laluan alternatif, trafik tetap sesak berikutan kerja-kerja pengalihan sedang dilakukan pasukan berkaitan, terutama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Selain itu, rata-rata pengguna yang mengaku kerap melalui laluan berkenaan turut meminta supaya siasatan dijalankan kerana mendakwa kemalangan kerap berlaku di kawasan terbabit.
Pengguna dikenali sebagai Mazlinah Maya MM mendakwa, laluan antara Tol Jawi ke Hentian Sungai Bakap sering berlaku kemalangan, terutama membabitkan kenderaan berat.
“Area (kawasan) antara Tol Jawi dengan Hentian Sungai Bakap Bakap kerap berlaku kemalangan, harap PLUS dapat membuat siasatan kenapa kerap sangat ‘accident’ (kemalangan) sini.
“Harap lori-lori ikut jalan lama… menyusahkan semua orang terutama yang hendak ke tempat kerja,” katanya.
Sementara itu, BH sedang berusaha mendapatkan pengesahan serta maklumat lanjut daripada pihak polis, JBPM dan PLUS berhubung kejadian berkenaan.