KUALA SELANGOR: Empat cedera, manakala tiga selamat dalam nahas membabitkan tiga kenderaan yang terbakar di jalan besar Pasir Penambang, di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada 2.19 petang dan lapan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor dikejarkan ke lokasi.
“Menurut laporan awal, kebakaran membabitkan sebuah lori tangki membawa muatan minyak sawit, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard dan kereta Proton Saga,” katanya menerusi kenyataan.
Ahmad Mukhlis berkata, pemandu lori tangki, pemandu Proton Saga dan dua lagi yang menaiki Toyota Alphard cedera manalaka dua kanak-kanak dan seorang wanita selamat.
“Operasi berjaya dikawal 2.31 petang,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.