Tumpuan :
Nasional

Nahas 3 kenderaan di Bukit Putus, suami isteri maut

Suami isteri maut selepas kereta mereka naiki terbabit kemalangan dengan dua lagi kereta dekat Jalan Seremban-Kuala Pilah, dekat Bukit Putus, petang semalam. – FOTO: PDRM

SEREMBAN: Suami isteri maut selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan dengan dua lagi kenderaan di Jalan Seremban – Kuala Pilah dekat Bukit Putus, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, mangsa wanita berusia 50 tahun maut di lokasi kejadian manakala suaminya berusia 52 tahun meninggal dunia di hospital.

“Kira-kira jam 6.45 petang semalam, berlaku satu kemalangan jalan raya membabitkan tiga kenderaan di Jalan Seremban-Kuala Pilah menghala Seremban.

“Siasatan awal mendapati Proton Exora dipandu seorang lelaki 22 tahun dari Seremban ke Kuala Pilah gagal mengawal kenderaannya lalu masuk ke laluan bertentangan dan melanggar Perodua Kancil dan Perodua Axia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pemandu dan penumpang Perodua Kancil cedera ringan dalam kemalangan tiga kenderaan di Bukit Putus petang semalam. – FOTO: PDRM

Akibat kemalangan itu, penumpang hadapan Perodua Axia cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Pemandu Perodua Axia juga cedera parah di kepala disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Zon Kecemasan Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini,” katanya.

Pemandu Proton Exora yang bersendirian cedera parah dipercayai patah di kedua-dua belah kaki. Pemandu dan penumpang Perodua Kancil cedera ringan.

Orang ramai yang ada maklumat mengenai kejadian nahas boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Shahrizan Khairi di talian 019-8461792 bagi membantu siasatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini