Oleh: Kumaran Rajamoney
GURUN: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) mahu kerajaan mempertimbangkan penawaran tender secara rundingan terus kepada pertubuhan itu, bagi membolehkan pengagihan baja bersubsidi dilakukan segera kepada pesawah.
Pengerusi NAFAS, Datuk Zamri Yaakob menjelaskan, permohonan ini susulan dari musim penanaman padi yang sudah bermula dan beberapa negeri seperti Kelantan, Terengganu, Selangor dan Perak, bagi tahun ini.
“Petani memerlukan baja sebaik penanaman padi bermula, dengan benih padi sudah ditabur. NAFAS yang mempunyai kilang baja terbesar dengan kapasiti pengeluaran 310,00 tan metrik setahun mempunyai keupayaan bagi memenuhi keperluan pesawah.”
“Keperluan baja setahun untuk dibekalkan kepada kira-kira 200,000 pesawah ialah kira-kira 240,000 tan metrik setahun,” katanya.
Ketika ini, berlaku lambakan baja sehingga operasi pengeluaran dihentikan sejak seminggu selepas tiada ruang penyimpanan.
Kilang NAFAS di Gurun katanya mula beroperasi bermula tahun 2005, dan berpengalaman hampir 18 tahun membekalkan baja kepada pesawah.
“Sebanyak 30 buah lori boleh digerakkan dalam sehari dan setiap lori berupaya memuatkan sebanyak 25 tan dan dianggarkan hampir 1,000 tan mampu diagihkan sehari ke Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang membuat tempahan.”
“Ini antara langkah yang kita ambil bagi memastikan tidak berlaku kelewatan pengagihan baja seperti yang pernah berlaku sebelum ini,” katanya.