comscore
Tumpuan :
Nasional

NADMA tumpu 89 daerah hotspot banjir

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memberi tumpuan kepada 89 daerah hotspot banjir di seluruh negara menjelang Fasa Peralihan Monsun ke Monsun Timur Laut (MTL).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, data itu mengambil kira bencana sama yang berlaku pada MTL pada November 2022 hingga Mac lalu.

Ujar beliau,  daripada jumlah itu, sebanyak 77 daerah dikenal pasti sebagai kawasan berlaku kejadian banjir berulang iaitu lebih daripada sekali, sama ada di lokaliti sama atau lokaliti berbeza namun dalam daerah berkenaan.

“Saya telah arahkan NADMA untuk melihat kepada 89 daerah ini untuk dipastikan kesiapsiagaan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah dari aspek kombinasi dan komunikasi termasuk kebersamaan dengan badan bukan kerajaan (NGO) di negeri dan daerah yang boleh membantu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penutup Program Humanitarian In Operations Training And Rakan NADMA Disaster Emergency Simulation Exercise (Randex) 2023, di sini hari ini.

Jelas beliau,  kebanyakan daerah itu terletak di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.

Pada masa sama, beliau juga mengarahkan NADMA untuk memastikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) yang dipengerusikan Pegawai Daerah dilaksanakan segera, yang turut membabitkan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Pada Mac lalu, kerajaan memutuskan semua Ahli Parlimen dan ADUN tanpa mengira latar belakang parti politik menjadi ahli JPBD bagi memastikan maklum balas serta syor wakil rakyat dapat disuarakan.

“Baru-baru ini di Parlimen semasa saya membuat penggulungan perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12, masih ada Ahli Parlimen yang membangkitkan bahawa mereka belum menerima sebarang undangan (mesyuarat) dan mereka khuatir sebab tahu hujung tahun ini akan berlaku bencana banjir.

“Jadi fokus ini perlu diutamakan. Saya mengharapkan NADMA supaya melihat dan memantau perlaksanaan persiapan ini khususnya di daerah yang mempunyai risiko besar berhadapan banjir,”

Tambah beliau,  beberapa negeri telah dilanda banjir ketika ini sebaik sahaja memasuki Fasa Peralihan Monsun dan berdasarkan statistik NADMA, setakat semalam, lima negeri antaranya Sarawak, Kedah dan Perak dilanda banjir membabitkan tujuh daerah, manakala  tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka yang menempatkan 589 mangsa.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), meramalkan Fasa Peralihan Monsun bermula pada 19 September hingga November ini menyaksikan  rantau atau pesisir negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang kondusif untuk kejadian ribut petir, yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa singkat.

Selepas fasa berkenaan MTL  dijangka membawa hujan lebat terutamanya kepada negeri-negeri di pantai timur Semenanjung, barat Sarawak dan timur Sabah.

Loading...
Terkini