comscore
Tumpuan :
Nasional

NADMA lulus peruntukan RM14 juta urus banjir Sabah

Jumlah mangsa banjir di Sabah meningkat kepada 464 orang membabitkan tiga daerah terjejas iaitu Penampang, Putatan dan Tuaran. – Foto fail

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) meluluskan baki peruntukan Monsun Timur Laut (MTL) 2023/2024 Sabah berjumlah RM14 juta untuk pemberian bantuan bencana dan pengurusan pengoperasian bencana di luar musim MTL di negeri berkenaan.

Dalam kenyataan hari ini, NADMA memaklumkan, pihaknya menerima permohonan tersebut daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah.

“Jumlah ini termasuk pemberian Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah yang terkesan dengan banjir ini serta sumbangan Bantuan Wang Ihsan Kematian (BWI Kematian) sebanyak RM10,000 diberikan kepada waris mangsa yang meninggal dunia akibat bencana banjir,” menurut kenyataan itu.

Berdasarkan laporan Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) NADMA, setakat jam 6 pagi tadi, jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) adalah seramai 464 orang dengan satu kematian.

Jumlah mangsa itu meningkat berbanding 437 mangsa yang direkodkan tengah malam tadi membabitkan tiga daerah terjejas iaitu Penampang, Putatan dan Tuaran.

Mengulas lanjut, menurut NADMA, keadaan di Sabah ketika ini adalah terkawal dan koordinasi di antara agensi yang diselaraskan Pegawai Daerah dan Setiausaha Kerajaan Negeri berjalan dengan amat baik.

Selain itu, NDCC NADMA juga beroperasi 24 jam setiap hari untuk memantau dan menyediakan laporan terkini situasi bencana di negeri berkenaan.

Amaran bencana seperti amaran hujan berterusan dan amaran banjir akan disampaikan kepada semua agensi tindak balas berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Ini termasuk kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang bertindak sebagai sekretariat kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dan JPBN.

“Kesiapsiagaan menghadapi bencana seperti banjir di daerah tersebut dikoordinasi oleh JPBD seperti pengaktifan PPS, penyediaan dan keperluan bilik gerakan dan stor simpanan.

“JPBD juga bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memastikan keperluan mangsa di pusat penempatan diperolehi sewajarnya,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, NADMA menasihati orang ramai agar berwaspada dengan keadaan cuaca semasa dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga, peka dengan pengumuman melalui media massa serta menunggu arahan sekiranya diarahkan berpindah.

Maklumat dan amaran cuaca terkini boleh diperolehi melalui pelbagai medium iaitu media elektronik, media sosial, laman sesawang rasmi, aplikasi myCuaca dan Jabatan Meteorologi (METMalaysia) Hotline di talian 1-300-22-1638.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini