KOTA BHARU: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) diarahkan untuk menghantar lebihan khemah di negeri lain untuk keperluan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kelantan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Lebihan khemah-khemah yang ada di dalam stor negeri lain perlu dihantar ke negeri yang dilanda banjir untuk keperluan PPS.
“Mangsa banjir di Kelantan ketika ini semakin meningkat dengan mendadak iaitu mencecah 69,000 dan kerana itu lebihan khemah diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Tapang, di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Yusoff Mamat.
“Situasi banjir di Kelantan agak lebih teruk berbanding tahun 2014 kerana pada kali ini lebih 60,000 mangsa banjir telah dipindahkan setakat hari ini melibatkan 20,500 keluarga serta 10 daerah terjejas.
“PPS yang telah dibuka di Kelantan adalah lebih 200 dan kita telah mengambil beberapa tindakan segera termasuklah mengadakan perbincangan dengan Datuk MB (Mohd Nassuruddin) mengenai pengerahan (deployment) tenaga yang membantu,” katanya.
Ahmad Zahid berkata beliau telah menggerakkan lebih 7,000 keanggotaan untuk membantu mangsa banjir di negeri itu sejak lapan hari lepas selain aset-aset yang dikendalikan pasukan keselamatan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Jabatan Pertahanan Awam.
Terdahulu, Ahmad Zahid melawat Menara Tinjau Sungai Kelantan, Tambatan D’ Raja Kota Bharu, di sini dan diberikan taklimat oleh Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Kelantan Dr Siti Fairus Zakaria berhubung situasi semasa Sungai Kelantan.-BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.