Oleh: Izzatie Rizan
PETALING JAYA: Perjuangan anak Malaysia aktivis Nadir Al-Nuri yang tanpa henti membela nasib rakyat Palestin cukup membanggakan negara.
Mana tidaknya pada usia 36 tahun, dia satu-satunya ‘frontliner’ Malaysia di bumi Al-Aqsa yang berdepan serangan berterusan rejim zionis.
Lebih sedekad berbakti melakukan kerja-kerja kemanusiaan di Semenanjung Gaza, Nadir memberitahu dirinya sering diuji menyaksikan kehilangan ahli keluarga di depan mata.
Biarpun terpaksa menggadai nyawa, beliau tidak pernah sesekali menyesali keputusan menetap dan berkeluarga di wilayah yang disifatkan sebagai ‘penjara’ terbesar di dunia itu.
Berkongsi kepada Buletin TV3, cintanya terhadap Gaza hadir selepas menyertai pelbagai misi kemanusiaan di negara berkenaan.
Sejak itu pemilik nama sebenar Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman enggan lagi menoleh ke belakang dalam memupuk kesedaran dan melaporkan perkembangan ketika di Palestin.
Tidak pernah menduga Gaza juga menemukan jodohnya, Nadir berkahwin dengan seorang balu, Reem Al-Minawi yang mempunyai 5 anak.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga cahaya mata Haura, Qamar dan Ibrahim.
Dibantu isterinya, Nadir terus giat mengumpul dan mengagihkan wang sumbangan kepada rakyat Palestin melalui NGO miliknya.
“Jika fikir mengenai bahaya, saya memang serahkan diri pada Allah S.W.T sepenuhnya. Misalnya dalam peristiwa berdarah pada 2018, peluru berterbangan di hadapan saya, langsung tak boleh kemana-mana yang menyaksikan ramai saudara saya dan penduduk Palestin ditembak.
Namun Allah S.W.T takdirkan umur saya masih panjang kerana masih ada tugasan yang belum selesai iaitu perjuangan untuk orang-orang Palestin dan juga perjuangan saya untuk beri kefahaman kepada orang Malaysia mengenai Gaza,” katanya.
Takdir memisahkan keluarga Nadir apabila beliau pulang ke tanah air atas urusan kerja lewat September lalu, yang menyaksikan tanggal 7 Oktober 2023 mencatat semula peristiwa berdarah, tentera Zionis kembali membedil Gaza.
Ibarat rindu tidak terungkap, sejak itu dia gusar keselamatan isteri serta tujuh anaknya yang kini berlindung di Rafah.
Kongsinya, Reem hanya boleh dihubungi selang dua hari melalui aplikasi WhatsApp dan sedang berlindung di sebuah rumah dihuni 30 individu.
“Waktu malam adalah paling sukar, sebab saya sering bermimpi mereka datang memeluk saya. Ini juga perpisahan paling lama saya berpisah dengan mereka.
“Ketika ini isteri maklumkan anak saya yang bongsu sudah boleh duduk dan merangkak. Memang rasa sedih sebab hilang kesempatan untuk melihat mereka membesar.
Namun saya percaya, inilah harga sebuah perjuangan, sekurang-kurangnya saya lega mereka masih bernyawa,” katanya lagi.
Mengulas lanjut tempoh yang mendatang ini disifatkan beliau sangat kritikal untuk rakyat Palastin yang mana rejim Zionis melancarkan serangan demi serangan memusnahkan apa saja.
Untuk itu doa rakyat Malaysia menjadi senjata paling kuat memelihara keselamatan rakyat Palestin dalam meneruskan perjuangan umat Islam di sana.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.