Oleh: Selwam Arjunan
ALOR SETAR: Dua remaja maut, manakala tiga lagi rakan mereka cedera parah dalam kemalangan di Jalan Tanjung Bendahara, di sini, malam tadi.
Kesemua mangsa berusia 18 tahun dan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja, Penolong Penguasa Bomba Wan Azizul Hakim Wan Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.28 malam.
“Sebuah jentera dari BBP Jalan Raja tiba di lokasi berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Alor Setar kira-kira 11 minit kemudian.
“Kemalangan melibatkan sebuah kereta Perodua Myvi yang hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar penghadang jalan.
“Anggota bomba bertindak mengeluarkan semua mangsa yang tersepit dalam kenderaan dengan menggunakan peralatan khas.
“Dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala tiga lagi yang cedera parah telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, anggota bomba masih menjalankan kerja pembersihan sisa kemalangan di lokasi kejadian.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.