comscore
Tumpuan :
Nasional

MYSA sahkan gegaran, dentuman kuat di Ipoh bukan disebabkan hujan meteor Orionids

Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Azlikamil Napiah

IPOH: Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) mengesahkan kejadian gegaran dan dentuman kuat yang berlaku di bandaraya ini, sekitar jam 11.06 pagi semalam bukan berpunca daripada hujan meteor Orionids seperti yang didakwa pengguna media sosial.

Ketua Pengarahnya, Azlikamil Napiah berkata, fenomena hujan meteor yang terhasil daripada debu komet sememangnya kerap berlaku, namun kebiasaannya sisa terbabit hanya masuk melintasi atmosfera bumi tanpa menyebabkan sebarang gegaran dan bunyi.

Menurutnya, sisa komet terbabit akan hangus terbakar dan terurai di atmosfera sekaligus mengelak berlaku sebarang hentaman.

“Jika ada pun (sisa meteor) yang dapat sampai ke permukaan bumi adalah sisa-sisa kecil yang jarang sekali menyebabkan berlaku gegaran.

“Kalau pun ia sampai ke (permukaan) bumi, sepatutnya ada lokasi sisa terbabit ditemui serta terdapat kesan kebakaran sekitar lokasi penemuan.

“Berdasarkan keadaan semasa, gegaran yang didakwa tidak membabitkan fenomena angkasa, melainkan ditemui bukti lokasi meteor berkenaan di permukaan bumi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan pengguna media sosial kejadian gegaran dan dentuman kuat di Ipoh akibat hujan meteor Orionids.

Semalam media melaporkan penduduk Ipoh cemas akibat merasai gegaran selama beberapa saat disusuli bunyi kuat seakan dentuman di bahagian atas bangunan sekitar jam 11.06 pagi.

Tinjauan di media sosial mendapati pengguna mendakwa gegaran terbabit dirasai di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Chemor, Stadium Perak, Meru Raya, Falim dan Gugusan Manjoi.

Selain itu kejadian sama dirasai penduduk di Tanjung Rambutan, Klebang, Jelapang, Tambun, Silibin serta pengguna Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dekat Terowong Menora.

Azlikamil menegaskan pihak berkuasa berkaitan angkasa terus mengenal pasti dan memantau pergerakan meteor yang bersaiz besar dan boleh merosakkan bumi sebelum ia memasuki atmosfera lagi.

Berdasarkan kenyataan di lawan web rasmi MYSA, hujan Meteor Orionids merujuk kepada titik kemunculan hujan meteor di langit iaitu di kawasan buruj Orion (Belantik), tetapi kemunculannya masih boleh berlaku dari pelbagai arah.

Fenomena itu berlaku setiap tahun apabila bumi yang beredar mengelilingi matahari merentasi laluan orbit Komet 1P/Halley atau dikenali sebagai Komet Halley.

Ketika komet itu mengorbit menghampiri matahari, debu-debu komet terbebas disebabkan oleh proses pemejalwapan akhirnya akan berserakan dan membentuk laluan yang dipenuhi dengan sisa-sisa komet.

Sisa tinggalan ini akhirnya akan memasuki atmosfera bumi dan terbakar lalu membentuk jalur bersinar yang panjang.
Fenomena Hujan Mateor Orionids akan berlaku setiap tahun antara 2 Oktober hingga 7 November.

Di Malaysia, kemuncak fenomena ini dijangka berlaku pada lewat malam semalam hingga Subuh tadi.

Pada waktu kemuncak, akan kelihatan sekitar 10 hingga 20 meteor setiap jam di langit.

Semalam, Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris menafikan kejadian terbabit berpunca daripada aktiviti letupan kuari, latihan pasukan keselamatan atau aktiviti seismik seperti didakwa pengguna media sosial.

Katanya, polis sedang menyiasat mengenai insiden itu dan menasihati orang ramai supaya bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi.

Dalam pada itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan tiada laporan penerbangan tentera di ruang udara Ipoh ketika kejadian terbabit, sekali gus menolak kemungkinan ada ledakan sonik dari pesawat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini