KUALA LUMPUR: Lima kes kartel pengeluar makanan ayam utama di Malaysia berjaya ditumpaskan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) tahun lepas, dengan jumlah penalti kewangan sebanyak RM415.5 juta.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, dalam kenyataannya hari ini memaklumkan sebanyak 15 syarikat turut dikenakan penalti kewangan berjumlah RM1.5 juta kerana terlibat dalam kartel tipuan bida.
“Dalam masa sama, MyCC telah mengeluarkan tiga keputusan cadangan terhadap 92 syarikat lain dan satu keputusan akhir terhadap tujuh syarikat berdasarkan bukti-bukti keterlibatan dalam kartel tipuan bida.
“Sehingga kini juga, MyCC terus giat menyiasat lebih 500 syarikat yang disyaki terlibat dalam kartel tipuan bida berkaitan tender-tender kerajaan bernilai RM2.3 bilion,” katanya.
Armizan turut berkata bahawa bagi memperkukuh usaha MyCC dalam membanteras penguasaan kartel, kerajaan telah memperuntukkan RM27 juta kepada suruhanjaya itu dalam Belanjawan 2025, menjadikannya peruntukan tertinggi dalam sejarah badan bebas yang ditubuhkan sejak 2011.
MyCC kini dalam proses mengusulkan pindaan terhadap Akta Persaingan 2010, dengan cadangan termasuk mengenakan penalti lebih berat serta pemberian ganjaran kepada pemberi maklumat.
Selain itu, kementerian melalui MyCC turut menganjurkan Simposium Undang-Undang Persaingan bertajuk Behind Closed Doors: The Hidden Drivers of Market Distortion hari ini, sebagai langkah memperkukuh peranan suruhanjaya tersebut.
Simposium ini bertujuan membincangkan isu-isu kritikal berkaitan persaingan, termasuk tipuan bida dalam perolehan awam, kenaikan harga makanan, kawalan penggabungan, serta penguasaan pemain ekonomi digital.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.