Tumpuan :
Nasional

MyCC dedah tujuh syarikat dipercayai tipu bida empat tender Kementerian Pertahanan bernilai RM20.8 juta

Iskandar Ismail (Ketua Pegawai Eksekutif MyCC) – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) hari ini mendedahkan tujuh syarikat dipercayai terbabit dalam kegiatan penipuan bida dalam empat tender membabitkan pembekalan barangan dan perkhidmatan bagi Kementerian Pertahanan bernilai RM20.8 juta.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail, dalam satu kenyataan media pada hari ini memaklumkan tujuh syarikat terbabit dipercayai saling berkongsi maklumat, menyediakan tender bersama dan menawarkan perjanjian subkontrak sebagai ganjaran.

“Berdasarkan siasatan awal, MyCC telah mendapati bahawa perusahaan-perusahaan tersebut telah berpakat semasa mengemukakan tawaran untuk tender-tender yang berkenaan dan siasatan juga mendedahkan bahawa mereka telah berkongsi maklumat antara satu sama lain, menyediakan bersama dalam mengemukakan tawaran tender dan menawarkan perjanjian sub-kontrak sebagai ganjaran.

“Perlu ditekankan di sini bahawa penemuan MyCC melalui Keputusan Cadangan adalah dapatan awal hasil penyiasatan, maka tidak boleh diandaikan bahawa mana-mana perusahaan telah melanggar Akta Persaingan 2010 pada peringkat ini,” jelasnya.

Justeru jelasnya, tujuh syarikat itu mempunyai peluang untuk mengemukakan representasi bertulis kepada MyCC dalam tempoh 30 hari dari tarikh Keputusan Cadangan ini disampaikan kepada mereka.

Kesemua syarikat itu jelasnya juga boleh memilih untuk membentangkan reprentasi mereka secara lisan pada tarikh yang akan ditentukan kelak, setelah mendengar dan mempertimbangkan representasi bersama bukti yang dikumpul dalam proses siasatan.

Mengulas lanjut mengenai tindakan memanipulasi bida menyebabkan kenaikan harga bagi projek perkhidmatan awam sekaligus menghalang kemasukan syarikat baharu dalam pasaran.

Malah kesannya, kerajaan terpaksa menanggung kerugian akibat kenaikan kos dan menyebabkan dana awam dibazirkan.

Tujuh syarikat terbabit antaranya Agenda Eksklusif Sdn Bhd, Nekad Waja Resources dan Star Apax Enterprise terbabit dalam empat tender kementerian itu, masing-masing membabitkan dua tender pada 2016 dan 2020.

Empat syarikat lain, Prospectrum Sdn Bhd terbabit dalam tender kementerian itu pada 2016, Spectron Sdn Bhd memasuki dua tender pada 2020 dan Teknokrat Makmur Enterprise dan NK Panorama Enterprise masing-masing memasuki satu tender pada 2016.

“MyCC akan terus menumpukan usaha siasatan yang membabitkan kartel tipuan bida dan akan mengeluarkan lebih banyak keputusan dalam masa terdekat.

“MyCC tekad untuk berusaha tanpa henti bagi membongkarkan dan memecahkan lebih banyak kartel tipuan bida ini,” katanya lagi,

Tambahnya, kajian menyeluruh dan analisis teliti dijalankan MyCC sebelum ini membawa kepada penyiasatan membabitkan lebih daripada 500 syarikat bagi tender bernilai lebih RM2 bilion.

Loading...
Terkini