Tumpuan :
Nasional

MyCC buka kertas siasatan, siasat persatuan disyaki terlibat perlakuan kartel

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah membuka beberapa kertas siasatan terhadap beberapa persatuan serta ahli jawatankuasa termasuk ahli-ahli yang disyaki terlibat dalam perlakuan kartel.

Menerusi satu kenyataan media hari ini, MyCC memaklumkan maklumat diperolehi mereka mendapati terdapat persatuan cuba mengaburi mata rakyat dengan mengumumkan kenaikan hagar perkhidmatan dan barangan.

“MyCC ingin memaklumkan bahawa pihaknya sudah membuka beberapa kertas penyiasatan terhadap beberapa persatuan serta ahli jawatankuasa termasuk ahli-ahli persatuan yang disyaki terlibat dalam perlakuan kartel.

“Maklumat di lapangan yang diperolehi daripada saluran media utama dan platform sosial media menunjukkan bahawa ada persatuan, melalui ketua mereka, cuba mengaburi mata rakyat dengan menyatakan pengumuman kenaikan itu hanyalah jangkaan kenaikan untuk masa hadapan atau harga panduan walhal pengumuman itu sebenarnya adalah hasil keputusan persatuan yang berbaur kartel.

“MyCC juga tidak terkejut jika ada persatuan yang membuat keputusan secara rahsia dengan harapan tindakan mereka tidak dapat dikesan kerana mereka sedar perkara tersebut melanggar perundangan persaingan,” jelas kenyataan itu.

MyCC turut melahirkan rasa kesal terhadap beberapa persatuan itu yang bertindak mengumumkan kenaikan harga termasuk mengenakan syarat perdagangan baharu didapati memberi kesan negatif secara langsung kepada kos sara hidup rakyat.

“Perkara ini amat membimbangkan kerana ia melibatkan sektor-sektor penting antaranya pengangkutan, perkhidmatan jagaan, kesihatan dan makanan yang merupakan keperluan asas rakyat.

“MyCC memandang serius akan perilaku persatuan-persatuan yang galak membuat pengumuman kenaikan harga atau harga minima atau syarat perdagangan baru terutamanya melalui media tanpa memikirkan impak yang menambahkan lagi cabaran kelangsungan hidup rakyat.

“Pengumuman sebegini boleh dikategorikan sebagai suatu perjanjian antipersaingan atau kartel kerana ia mencerminkan suatu keputusan ahli jawatankuasa persatuan yang pada masa sama merupakan pesaing-pesaing dalam industri.

“Ia juga boleh dikategorikan sebagai isyarat daripada persatuan kepada ahli-ahlinya dalam menyebar luas keputusan yang telah ditetapkan dengan tujuan untuk memastikan ahli-ahli menjayakan perlakuan kartel secara bersepadu,” jelas kenyataan itu.

Tambah MyCC, pihaknya mengambil maklum berlakunya peningkatan kos perniagaan dalam dan luar negara, namun usaha perusahaan-perusahaan tidak boleh mengambil jalan mudah bersekongkol menaikkan harga atau menetapkan harga minima atau mengenakan syarat perdagangan baharu yang akan menaikkan harga.

“Keputusan sedemikian sepatutnya dilakukan secara bebas dan tanpa arahan atau keputusan Persatuan. Mereka tidak boleh berselindung di sebalik jawatan-jawatan persatuan mereka atau keahlian mereka di dalam persatuan.

“Jawatan atau keahlian itu bukan satu lesen untuk menghalalkan perlakuan kartel masing-masing. MyCC telah banyak menyiasat ahli jawatankuasa serta ahli-ahli persatuan dan didapati mereka menggunakan platform persatuan untuk menggalakkan pembentukan kartel di kalangan mereka,” jelas MyCC lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini