Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid
SEPANG: Aplikasi MyBorderPass, yang menggunakan sistem kod respons pantas (QR) untuk memudahkan perjalanan rakyat Malaysia, menerima sambutan luar biasa dengan mencatatkan 400,000 muat turun hanya dalam 11 hari selepas pelancarannya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution, menyifatkan aplikasi ini sebagai ‘game changer’ kerana mempercepatkan proses pelepasan imigresen di lapangan terbang.
“Pendaftaran melalui aplikasi memberikan kod bar dalam tempoh 60 saat. Saya kira, hanya sekitar empat saat diperlukan untuk pelepasan,” katanya pada sidang media selepas meninjau sendiri pengalaman menggunakan sistem QR di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.
Saifuddin turut menggalakkan rakyat Malaysia memanfaatkan aplikasi ini untuk kelancaran urusan perjalanan.
Beliau juga menegaskan bahawa aspek keselamatan tidak diabaikan, dengan pengguna tetap diwajibkan membawa pasport untuk tujuan pemeriksaan.
“Pasport mesti sentiasa bersama, tetapi tidak perlu diimbas kerana sistem ini telah menyimpan maklumat pengguna. Keselamatan tidak akan dikompromi,” jelasnya.
Menurut Saifuddin, aplikasi MyBorderPass dijangka diperluas penggunaannya ke lapangan terbang antarabangsa lain, khususnya yang mencatat jumlah pergerakan pengembara tinggi seperti di Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Kuching, dan Langkawi.
Beliau turut menyasarkan aplikasi ini dapat digunakan oleh pengembara dari negara-negara ASEAN, untuk mempermudah urusan pelepasan di pintu keluar negara.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.