KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan tambah murah MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) telah mengumumkan penggantungan operasi berkuat kuasa hari ini sehingga tarikh yang akan diberitahu kelak.
Justeru MYAirline menasihatkan penumpang yang terjejas supaya tidak pergi ke lapangan terbang dan mencari pengaturan perjalanan alternatif ke destinasi mereka.
Syarikat penerbangan itu turut menasihati penumpang yang terjejas untuk hubungi mereka di [email protected] pasukan sokongan syarikat akan memberikan bantuan.
Dalam satu kenyataan, Ahli Lembaga Pengarah syarikat itu memaklumkan keputusan penggantungan tersebut dibuat kerana tekanan kewangan yang menyebabkan operasi perlu digantung sementara menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan permodalan semula syarikat.
“Kami amat kesal dan memohon maaf kerana terpaksa membuat keputusan ini dan kami memahami kesannya terhadap penumpang, pekerja yang berdedikasi dan rakan kongsi.
“Kami telah bekerja tanpa jemu untuk meneroka pelbagai perkongsian dan pilihan penjanaan modal untuk mengelakkan penggantungan ini. Malangnya, kekangan masa menyebabkan kami tiada alternatif selain mengambil keputusan ini,” kata Ahli Lembaga Pengarah MyAirline dalam kenyataan tersebut.
Lembaga Pengarah, pemegang saham dan kami semua di MYAirline akan bekerja tanpa jemu untuk menyambung semula operasi secepat mungkin tetapi pada peringkat ini kami tidak dapat komited pada sebarang garis masa,” katanya.
Semalam, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata beliau tidak menerima sebarang maklumat yang berkaitan laporan kewangan MyAirline.
“Setakat ini, saya tidak menerima apa-apa maklumat daripada Mavcom. Saya tidak tahu sama ada mereka menjual (syarikat penerbangan itu) kepada siapa atau siapa yang akan mengambil alih. Itu di luar pengetahuan saya.
“Sekiranya terdapat sebarang perubahan, pihak berkepentingan atau pihak lain, sudah tentu perlu dimaklumkan kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom). Tetapi, setakat ini saya difahamkan belum ada apa-apa maklumat (itu),” katanya.
Loke berkata MyAirline perlu menjelaskan sebarang isu yang dihadapi kepada Kementerian Pengangkutan menerusi Mavcom sebelum agensi itu menyediakan sebarang bantuan.
Sebelum ini media melaporkan syarikat penerbangan tambang rendah itu dipercayai akan menerima pelabur baharu yang berpotensi menyelesaikan masalah kewangan yang melanda MYAirline.
Perkara itu susulan perletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif MYAirline Rayner Teo yang berkuat kuasa 7 Okt 2023 atas sebab kesihatan.