KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya muzium tempatan boleh diperhebat dengan memperbanyakkan paparan sejarah serta warisan budaya negara.
Dalam hantaran di Facebook rasminya memaklumkan, beliau dan delegasi Malaysia sebelum berangkat ke Lapangan Terbang Kaherah semalam, menerima pelawaan Kerajaan Mesir untuk mengunjungi Grand Egyptian Museum di Giza.
“Saya dimaklumkan bahawa muzium ini baru dibuka dan merupakan yang terbesar di dunia, menempatkan lebih daripada 100,000 artifak bersejarah Mesir.
“Lawatan ini juga membuka peluang untuk mendalami keunikan dan kekayaan warisan budaya masyarakat Mesir terdahulu.
“Saya percaya muzium di Malaysia juga boleh diperhebat dengan memperbanyakkan paparan sejarah serta warisan budaya negara kita,” katanya menurut hantaran itu.
Anwar pada Sabtu lalu tiba di Kaherah bagi lawatan rasmi empat hari ke Mesir atas undangan Presiden Abdel Fattah El-Sisi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.